08 Ogos 2008

Raja Muda Perak terima mengadap delegasi Pemuda PAS

KUALA LUMPUR , 7 oGOS :- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi PAS yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub di Istana Perak, Bukit Persekutuan dekat sini, Khamis.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, baginda dan delegasi PAS membincangkan beberapa perkara berkaitan negara termasuk peranan Majlis Raja-raja serta isu berkaitan negara dan rakyat.

"Perbincangan adalah berkisar kepada bagaimana seharusnya peranan yang dimainkan oleh Majlis Raja-raja dan institusi di negara ini ke arah kebaikan semua rakyat.

"Tuanku amat gembira dengan kehadiran dan perbincangan yang diadakan hari ini. Dan kami mengharapkan agar pertemuan seperti ini akan diadakan pada masa akan datang," kata Salahuddin kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Salahuddin hadir bersama lima anggota Dewan Pemuda PAS terdiri daripada Setiausaha Ahmad Sabri Yusof, Penolong Setiausaha 1 Musaddak Ahmad, Bendahari Zaki Ibrahim, Ketua Penerangan Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Norazli Musa.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

RAJA Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bergambar dengan delegasi Dewan Pemuda Pas Pusat yang diketuai Ketuanya, Salauddin Ayub (lima, kiri) di Istana Perak di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia

Tiada ulasan: