07 Oktober 2008

Menunggu Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS

Oleh : pemudabesut

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata " Kita ni anak cucu adam dan hawa, tak kira cina, melayu, siam, bugis, jawa, negrito, senoi, murut, kayan".

SATU

Apabila media melaporkan Dr Asharuddin Ahmad, 49 menawarkan diri bertanding Naib Presiden Gerakan, ia sesuatu yang baru kepada banyak pihak. Ia baru kepada Gerakan dan kepada parti-parti lain juga. Beliau dikatakan orang Melayu pertama menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Ramai melihat Gerakan sebagai parti Cina seperti MCA. Gerakan diasaskan oleh Allahyarham Prof Dato’ Dr Syed Hussein al Attas pada tahun 24 Mac 1968 di Pulau Pinang dengan nama Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dr Syed Hussein menjadi Presiden Gerakan daripada tahun 1968-1969. Semua Presiden selepasnya adalah Cina. 1969 – 1980, Tun Dr Lim Chong Eu, 1980 – 2007, Dr Lim Keng Yaik dan 2007 hingga sekarang, Dr Koh Tsu Koon.

DUA

Sehingga 2006, 80 peratus ahli Gerakan adalah etnik Cina dan bakinya ialah India, Melayu dan lain-lain. Walau pun Gerakan adalah kerabat BN tetapi ia parti berbilang etnik. Ia tidak seperti Umno dengan perkauman Melayunya, MCA Cina dan MIC pula India. Di semenanjung hanya tiga parti itu sahaja dilihat masih bersifat perkauman.

Parti-parti yang tidak berasaskan perkauman lebih berani dan terbuka. Mereka tidak bergayut di bawah tengkuk BN sahaja. Pada 6 Sept 08 dilaporkan, Pemangku Presiden gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengancam akan keluar BN jika tidak dilakukan perubahan wajar dalam gabungan itu.

TIGA

Satu lagi parti kerabat BN yang pelbagai etnik ialah Parti Progresif Penduduk. Walau pun diasaskan oleh D.R Seenivasagam, parti itu pernah memiliki Presiden daripada kalangan kaum Cina. Dr Khong Kok Yet pernah menjadi Presiden PPP daripada tahun 1975-1978, begitu juga Mak Hon Kam pada tahun 1988.PPP, pada tahun 2006 berkeahlian 48 peratus India, 13 peratus Melayu dan bakinya kaum lain pernah menarik diri daripada BN pada tahun 1969. Pada tahun itu, PPP hampir berjaya membentuk kerajaan negeri Perak apabila mendapat undi daripada orang-orang Cina. Pada Nov 2006, Parti Progresif Penduduk melalui Presidennya mencadangkan supaya Gerakan dan PPP bergabung. Walau pun cadangan itu disambut baik oleh Koh Tsu Koon tetapi sampai hari ini belum terlaksana.

EMPAT

PAS bukan parti perkauman. Harakahdaily 5 Sept 06 melaporkan kenyataan TG Nik Abdul Aziz bahawa orang Cina boleh jadi MB Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran. Ini bukan semata-mata kenyataan politik untuk menarik undi bukan Melayu, tetapi inilah Islam. Mereka yang mendokong Islam di zaman nabi bukan semuanya Arab, ada orang Parsi, orang Rom, orang Afrika dan ada sahabat yang kuburannya di negara Cina.

BERNAMA melaporkan pada 20 Mei 08, TG Abdul Hadi berkata PAS telah berjaya memecahkan tembok pemisah antara kaum di negara ini yang gagal dipecahkan oleh Umno. Ini terbukti apabila kaum Cina dan India mengundi calon PAS manakala penyokong PAS mengundi calon DAP dan PKR yang bukan Melayu.

Di Johor, PAS meletakkan P Kumuta Raman sebagai calonnya di DUN Tiram dalam pilihanraya umum lalu. Beliau adalah seorang peguam beragama Hindu.

PAS juga ada ahli jawatankuasa peringkat pusat yang bukan Melayu, Dato’ Anuar Tan. Dia juga adalah exco kerajaan Kelantan. Selain itu, PAS Perak juga ada seorang Yang Berhormat Titi Serong, Drs. Khalili Idham Lim Abdullah. Dalam dewan peringkat pusat, pemuda tiada yang bukan Melayu, begitu juga muslimat dan ulama’.

PAS ada Kelab Penyokong PAS untuk kaum India dan Cina. Pendokong kedua-dua kelab itu tidak beragama Islam kerana kalau mereka beragama Islam mereka boleh terus menjadi ahli PAS.

Kita tidak pasti berapa peratus ahli PAS daripada kalangan orang bukan Melayu. Kalau kita inginkan suatu hari nanti jawatankuasa kanan dalam PAS disandang oleh bukan melayu, maka peratusan ahli PAS daripada kalangan bukan melayu wajar ditingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti.

LIMA

Adakah boleh orang bukan Melayu memimpin PAS? Mengapa tidak, kalau ketua sebuah kerajaan negeri boleh bukan melayu, apa salahnya pemimpin PAS juga bukan Melayu kerana PAS bukan berasaskan Melayu. PAS bukan parti perkauman.

Tidakkah kita bimbang nanti negara ini didominasi oleh kaum lain? Apa perlu bimbang, kaum apa pun asalkan Islam berdaulat, sudahlah. Kalau orang Melayu ingin terus mendominasi negara ini, orang Melayu mesti semakin teguh dengan Islam, bukan sekadar Islam mengikut takrif Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Islam bersifat sejagat, PAS juga begitu kerana PAS adalah gerakan Islam. Tidak mustahil suatu hari nanti, lebih ramai bukan Melayu menjadi pemimpin PAS bukan di peringkat jawatankuasa lagi tetapi sebagai Naib Presiden, atau Timbalan Presiden dan Presiden juga.
Kita tunggu dan lihat.



Tiada ulasan: