18 Januari 2009

Najib: BN terima keputusan rakyat

Barisan Nasional (BN) menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi Parlimen Kuala Terengganu yang memilih calon PAS dalam pilihanraya kecil hari ini, kata Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"BN menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi. Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat," kata beliau yang juga pengarah pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita mesti percaya kepada demokrasi dan kita harus akur dengan keputusan rakyat. Kita akan ambil iktibar dan akan terus berkhidmat kerada rakyat," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman rasmi menteri besar Terengganu malam ini.


Menurutnya, BN akan melakukan apa-apa yang perlu untuk mengembalikan imej parti supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat.

"Saya yakin kesudahannya rakyat akan yakin kepada BN.

"Saya nyatakan dari mula-mula lagi, ini pilihanraya kecil, (maka) banyak faktor yang menentukan keputusannya, termasuk soal perkhidmatan," katanya sambil menambah kini sukar untuk dibaca politik tanahair.

"Kita ambil keputusan ini untuk menentukan hala tuju Umno dan BN.

"Adalah terlalu awal untuk menentukan faktor-faktor kekalahan ini. Sampai masanya, kita akan akan tahu faktornya," tambah Najib.

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut tidak akan dibawa untuk dibincangkan dalam konvensyen BN bulan depan.

"Ini piliharaya kecil, walaupun kita kalah dahulu, tetapi akhirnya kita akan berjaya.

"Saya tak fikir ini akan beri kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang," tegasnya.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih pemerintahan dari perdana menteri sekarang.

Suasana suram

Hadir sama di sidang akhbar selama 10 minit itu ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien, dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Riak wajah mereka kelihatan muram. Turut hadir ialah beberapa pemimpin Umno Terengganu, antaranya Setiausaha Umno Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dan ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Sebelum ketibaan Najib, sudah tersebar berita di kalangan wartawan yang menunggu di situ sejak sebelum jam 8 malam lagi bahawa calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas di tangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Mereka masing-masing menunjukkan SMS yang mereka terima mengenai keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu.

Manakala para penyokong PAS berarak menyambut kemenangan calon mereka selepas pengumuman dibuat di Stadium Negeri yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah menteri besar.

Mereka berarak di Jalan Sultan Mahmud yang melalui di bahagian depan kediman menteri besar itu.

Mereka berarak sambil membunyikan hon kenderaan dan kebanyakannya mengibarkan bendera PAS. Tiada sebarang kekecohan dilaporkan berlaku.