17 Februari 2009

Ku Li ulangi pendirian, Nizar MB Perak.

“Biar saya lanjutkan apa yang pernah saya katakan mengenai status Menteri Besar”

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Ia merupakan asas dan sumber kepada kuasa undang-undang, dan Raja-Raja telah bersumpah untuk mempertahankannya.

Menurut Perlembagaan, Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sehinggalah beliau meletak jawatan atas kerelaannya, atau disingkirkan melalui undi tidak percaya menerusi persidangan dewan undangan negeri. Perlembagaan tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk menyingkirkannya melalui cara lain, termasuk melalui petisyen atau arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Dua prinsip perlu dijelaskan:

Pertama, kerajaan yang memerintah diasaskan menurut undang-undang dan prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan. Inilah yang membezakan di antara kerajaan yang dibentuk secara sah dan yang dibentuk secara kekerasan melalui undang-undang rimba.

Kedua, kerajaan yang dibentuk secara sah menurut Perlembagaan memperolehi kuasanya daripada mandat yang diberikan rakyat, hanya melalui cara itu. Mandat diberikan oleh rakyat kerana kerajaan itu dibentuk menurut Perlembagaan, dan pemimpin-pemimpinnya mereka pilih melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Kita perlu menguji mandat ini secara berkala. Pada waktu-waktu penting seperti apabila sesebuah kerajaan akan dibentuk atau dibubarkan, Perlembagaan memperuntukkan kaedah ujian yang formal dan definitif untuk mengukur sejauh mana mandat rakyat diperolehi oleh kerajaan berkenaan.

Jadi, kita adakan pilihan raya untuk menguji sejauh mana sokongan di kalangan rakyat yang diperolehi oleh seseorang calon pimimpin. Persoalan dikemukakan dalam pilihan raya yan dikawal oleh undang-undang dan persetujuan yang mendahului masa.

Jika pilihan raya tidak diadakan, atau sekiranya pilihan raya itu diragui kebebasan dan keadilannya, maka persoalan keabsahan kepimpinan tidak dapat ditentukan.

Walau seramai mana pun orang berarak dan meneriakkan nama anda, semuanya itu tidak diambil kira. Anda perlu membuktikan bahawa anda mempunyai sokongan pengundi melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Sama juga, Perlembagaan menyediakan satu kaedah definitif untuk menguji sama ada seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri masih mempunyai majoriti di Dun atau Parlimen. Kita akan kemukakan undi tidak percaya di Dun atau Parlimen.

Apa yang akan diambil kira nanti ialah keputusan persidangan tersebut. Ia tidak mengambil kira sebanyak mana akuan bersumpah, peralihan sokongan, sidang media dan perisytiharan yang dibuat. Ia juga tidak mengambil kira berapa banyak bentuk pengiklanan, pameran, tarikan dan tenaga yang ditanggung bagi menghadapi persoalan tersebut.

Bagi menguji secara formal mandat kerajaan sekarang, sama ada di Perak, Sabah atau kerajaan Persekutuan, persoalan perlu dikemukakan kepada rakyat melalui pilihan raya negeri, atau menerusi persidangan melalui undi formal di dewan. Inilah ujian-ujian yang diambil kira dalam demokrasi berperlembagaan kita.

Inilah juga apa yang diertikan sebagai demokrasi berparlimen. Untuk menyingkir atau membentuk kerajaan melalui cara selain itu akan menyalahi Perlembagaan, melunturkan kuasa undang-undang dan berhadapan dengan risiko pembentukan kerajaan yang haram.

Pihak berkuasa yang sah hanya boleh ditubuhkan melalui kaedah demokratik seperti yang disebut oleh Perlembagaan. Kuasa yang sah dan betul berbeza sepenuhnya daripada kuasa buas yang boleh dibeli, jual atau dirampas menggunakan kekuatan.Perakdaily.

Tengku Razaleigh Hamzah

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih Ku Li di atas penerangan yang amat menyeluruh mengenai perlembagaan perlantikan Menteri Besar, Undang2 Tubuh Negeri Perak. Kepada Menteri Besar Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin teruskan apa yang telah dirancangkan bagi memastikan kerajaan PR adalah kerajaan yang bermaruah yang meletakkan dan menghormati undang-undang dan perlembagaan diperingkat yang tinggi..

Tanpa Nama berkata...

go go NIZAR!

Tanpa Nama berkata...

Orang seperti Ku Li tiada tempat didalam UMNO ... Sayangnya beliau masih mahu kekal didalam parti yang semakin mereput ni.

Tanpa Nama berkata...

Biarlah insan seperti KU Li & Tun Mahathir ni dok dlm UMNO sebagai anai2 yg memakan tiang parti tersebut,... biarkan!

Tanpa Nama berkata...

syabas ku li...ternyata, ku li tetap tegas dan berprinsip...alangkah baiknya jikalau ku li sertai pas, agar dapat kita bersama dengan prinsip dan agenda yang lebih besar menegakkan islam di bumi malaysia ini...insyaAllah

Tanpa Nama berkata...

bukan semua yang ada dalam umno tu busuk-busuk belaka, tapi bahagian yang elok tu akan membusuk juga akhirnya..pasai apa, umno dah rabun dan buta dengan $$$ dan kuasa.

Tanpa Nama berkata...

semoga Allah buka kan pintu hati Ku Li masuk PAS