02 Mac 2009

PAC Perak panggil Zambry, Nizar dan Exco

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan memanggil menteri besar dan menteri besar kudeta untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis politik di negeri itu.

Selain Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir, lapor Bernama.

Katanya, PAC yang mengadakan mesyuarat di bilik mesyuarat kewangan negeri di Ipoh kelmarin memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat menteri besar kudeta dan ketua penerangan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Canning itu berkata PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (penasihat hal ehwal masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz sebagai penasihat hal ehwal agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai ketua penerangan kerajaan Perak.

Beliau berkata pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

PAC perlukan penjelasan

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undang-undang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak dan Setiausaha kelab penyokong Kerajaan pakatan Rakyat Perak berkata PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

2 ulasan:

Awanama berkata...

Hai cerdik sunggoh pemimpin2 PR ni.Walaupun kerajaan dah di tumbangkan tetapi masih dapat berikhtiar untuk mengenakan pihak lawan.Walau bagaimana pun saya meminta agar berhati-hati dalam semua gerak geri, oleh kerana dalam keadaan terdesak dan tersepit BN akan mula menggunakan undang2 rimba mereka.

Awanama berkata...

Kalau mahkamah , BPR dan polis tidak ada dalam gengaman BN dah lama BN terkubur...

Rakyat yang celik akal dapat senario politik BN sejak kebelakangan ini....tiga intitusi ini yang menongkat BN..kalau tidak dah lama tumbang !!!