01 Jun 2009

Mafrel anggar 30% mengundi sehingga 11.30 pagi

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi dari pusat semakan pengundi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga jam 11.30 pagi ini, Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) menganggarkan purata 30 peratus telah keluar mengundi di sebahagian besar pusat pengundian dalam pilihanraya kecil DUN Penanti.

Menurut Penyelaras Wilayah Mafrel, Ong Boon Keong, pusat pengundian di sekolah Jit Sin - kawasan majoriti pengundi Cina - 32 peratus pemilih telah mengundi sehingga ini.

Sekurang-kurangnya dua kamera keselamatan dipasang di pusat pengundian di SM Guar Perahu.

Ramai penduduk di Penanti berkata, ketiadaan Umno dan BN bertanding, menjadikan pilihanraya kecil hari ini ini sebagai anti-klimak.

Menurut mereka, ia merupakan sebab utama proses pengundian setakat ini dilihat agak lembab.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Terdapat seramai 15,384 pengundi di DUN Penandi di mana 72.6 peratus daripadanya adalah Melayu, 24.2 peratus Cina, 2.4 peratus India dan 0.7 peratus kaum lain.

(Sumber : Malaysiakini)

Tiada ulasan: