13 Jun 2009

ADUN DAP LEBIH BERMORAL DARI KM MELAKA DAN KETUA PEMUDA UMNO

ISU rasuah sememangnya satu isu yang teramat dipandang berat oleh PR, dan isu ini mendapat kesepakatan bersama di dalam PR yang terdiri dari tiga parti yang berlainan dasar untuk ditentang secara habis-habisan. Malahan Ketua Pembangkang DS Anwar sendiri di dalam setiap perbahasan di Parlimen sentiasa menekankan betapa rasuah boleh menghancurkan negara. Itulah yang menjadikan PR dilihat lebih bersih dari Umno/Bn.

Pimpinan PR bukan sahaja akan menentukan setiap pemimpin atau Wakil Rakyat mereka bebas dari rasuah, bahkan PR akan terlebih awal bertindak sekiranya diragui kejujuran atau kebersihan seseorang Wakil Rakyat mereka. Ini tradisi di dalam PR, dan tradisi ini kini menjadi amalan secara sukarela oleh mana-mana Wakil Rakyat dari PR. Wakil Rakyat yang merasakan mereka menjadi sasaran tuduhan rasuah atau penyelewengan lebih rela meninggalkan jawatannya walaupun pada akhirnya terbukti tidak bersalah. Contoh paling dekat adalah apa yang terjadi kepada bekas TKM 1 P.Pinang Fairus yang suka rela melepaskan jawatannya selaku Adun, Exco dan TKM 1 P.Pinang demi menjaga nama baik parti. Akhirnya beliau disahkan tidak bersalah.

Terbaru pula, Adun Jawi juga dari P.Pinang wakil DAP iaitu YB Tan Beng Huat telah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya selaku Adun tetapi dengan bersyarat. Beliau hanya akan meneruskan perletakan jawatannya sekiranya segala tuduhan rasuah yang dilaporkan ke atasnya didapati tidak berasas. Inilah sikap pemimpin yang sukar untuk kita cari, apatah lagi mahu mencari pemimpin seperti ini di kalangan Umno/Bn. Di dalam Umno, terbukti terlibat dengan rasuah setelah disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno pun masih memegang jawatan di dalam parti dan kerajaan. Ali Rustam masih menjadi KM Melaka, dan KJ pula tetap dengan jawatannya selaku Ketua Pemuda Umno. Itu belum dikira yang lain-lain lagi termasuk yang pernah Tun Mahathir perkatakan.

Berdasarkan itu, mana mungkin PR boleh menghormati Umno apatah lagi ingin mewujudkan kerjasama dalam aspek apa pun. Bagaimana ingin bekerjasama dengan Umno untuk menghapuskan rasuah jika pemimpin mereka sendiri redha dengan puak-puak rasuah di dalam parti mereka sendiri? Sebab itulah ramai di kalangan rakyat terkeliru dalam bentuk apakah kerjasama yang ingin dipraktikkan oleh Pas dengan Umno ini. Mampukah kita membersihkan `najis-najis' rasuah yang sudah sebati di dalam parti tersebut? Tidakkah kita melihat sendiri betapa rakan-rakan kita di dalam PR begitu komited menentang rasuah berbanding dengan Umno/Bn, tetapi mengapa kita terliur sangat hendak berada di sisi Umno/Bn? Untuk tujuan dakwah? Umno bukan semudah itu untuk kita dakwah mereka, dan kita lihat sendiri entah berapa ramai tokoh-tokoh agama termasuk bekas Naib Presiden Pas sendiri Ustaz Nakhaei cuba untuk `mendakwah' Umno tetapi ke mana perginya ustaz tersebut? Ke mana perginya bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Firdaus? Ustazah Mashitah usah diceritakanlah kerana beliau pun terlalu banyak termakan budi Umno. Tiba pula giliran bekas Pengerusi Kagat Mej Jen (B) Jamil Khir untuk cuba memperbaiki kerajaan Umno, tetapi awal mula pertama mula beliau sudah terperangkap dengan isu pertukaran agama.

Kita sebenarnya tiada pilihan yang lain selain dari PR. Kita telah semai benih-benih ini sekian lama dengan air mata dan darah rakyat. Almarhum Ustaz Fadzil Noor sampai meninggal dunia masih percaya kepada gabungan yang diasaskannya ini. Bukan sedikit yang menderita untuk menjadikan PR dan Pas seperti sekarang. Oleh yang demikian, lupakan saja idea yang dikatakan `karut' oleh Mursyidul Am itu apatah lagi Umno/Bn tidak pernah memohon maaf kepada Pas terhadap apa yang pernah mereka lakukan terhadap Pas. Jika ada lagi mana-mana pemimpin yang masih berharap agar idea tersebut dapat direalisasikan, sudah tentu rakyat akan menolaknya di dalam pilihanraya akan datang.

Akhirkata, syabas buat Adun Jawi yang berani membuktikan bahawa orang bukan Islam juga kadangkala jauh lebih bermaruah dari orang Islam sendiri. / wfauzdin.blogspot.com

3 ulasan:

david ahmad muniandi berkata...

berapa ratus jabatan kementerian kerajaan(umno) yang menubuhkan berpuluh-puluh ribu jabatan perisik (think tank) untuk tindakan menjatuhkan DUN atau ADUN PR untuk kemenangan (umno).

Tanpa Nama berkata...

Saya juga tidak setuju PR bergabung dengan UMNO. Tapi kalau semua parti bekerjasama memberi tumpuan untuk memperbaiki kemelesetan ekonomi negara dan mendahulukan kepentingan rakyat, itu adalah lebih baik. Semua parti patut berjanji tidak mementingkan parti sendiri semata-mata. Lupakan tuduh menuduh buat seketika. Jangan malu menerima kritikan, teguran dan idea bernas dari parti lawan untuk kebaikan rakyat dan negara.

UMNO banyak bazirkan dana negara (milik rakyat)apabila berlaku PRK untuk memancing undi. Kerahan pasukan polis sahaja mencecah jutaan ringgit, belum termasuk projek mee segera. Mungkin perpaduan yang dimaksudkan bermakna semua parti tidak saling berlawan (sama seperti gencatan senjata) tetapi bergerak bersepadu mencari jalan agar ekonomi negara dapat dipertingkatkan dan rakyat seluruhnya menerima faedah.

Tanpa Nama berkata...

Saya juga tidak setuju PR bergabung dengan UMNO. Tapi kalau semua parti bekerjasama memberi tumpuan untuk memperbaiki kemelesetan ekonomi negara dan mendahulukan kepentingan rakyat, itu adalah lebih baik. Semua parti patut berjanji tidak mementingkan parti sendiri semata-mata. Lupakan tuduh menuduh buat seketika. Jangan malu menerima kritikan, teguran dan idea bernas dari parti lawan untuk kebaikan rakyat dan negara.

UMNO banyak bazirkan dana negara (milik rakyat)apabila berlaku PRK untuk memancing undi. Kerahan pasukan polis sahaja mencecah jutaan ringgit, belum termasuk projek mee segera. Mungkin perpaduan yang dimaksudkan bermakna semua parti tidak saling berlawan (sama seperti gencatan senjata) tetapi bergerak bersepadu mencari jalan agar ekonomi negara dapat dipertingkatkan dan rakyat seluruhnya menerima faedah.