15 Julai 2009

Dah Seratus Hari Pun…

Email Oleh : roslan mohd

(Suara Keadilan) Benarkah 11 Julai 2009, hari keseratus Datuk Seri Najib Razak menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia?

Jika dikira dari tarikh beliau mengangkat sumpah, perkara itu tidak dapat disangkalkan lagi, namun bagi pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah, pemerintahan Najib sebenarnya bermula jauh lebih awal dari itu – ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan tersebut.

Dalam tempoh 100 hari (atau lebih) Najib memegang tampuk pemerintahan, ia gagal dimanfaatkan untuk memulihkan imej kerajaaan. Banyak perkara yang seharusnya ada namun tidak dilaksanakan, begitu pandangan Tengku Razaleigh.

Dua bukti utama beliau utarakan: Pertama, cadangan Suruhanjaya Diraja Pembaikan Operasi Dan Pengurusan Polis Di Raja Malaysia supaya diwujudkan satu badan bebas iaitu Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi memperkasa dan mengawasi Polis Diraja Malaysia. Najib tidak mengendahkan cadangan ini.

Perkara kedua yang juga tidak dihiraukan Najib adalah hasil siasatan Suruhanjaya Diraja terhadap sedutan rakaman video perbualan VK Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Dua perkara ini, kata Tengku Razaleigh, sekiranya diberi penegasan oleh pemerintah mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap system penguatkuasaan undang-undang dan badan kehakiman.

Malangnya Najib tidak mahu bertindak. Mungkin beliau tidak selesa untuk meneruskan usaha yang cuba dilaksanakan Tun Abdullah.

Sebaliknya Najib memilih untuk menonjolkan konsep 1Malaysia, yang sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Konsep 1Malaysia ini tidak lebih dari penjenamaan semula wawasan pemimpin-pemimpin silam sejak Malaysia Merdeka 52 tahun lalu.

Sepertimana amalan Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, selain dari memperkenalkan beberapa langkah ‘pembaharuan ekonomi’, Najib turut membebaskan beberapa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejurus selepas mengangkat sumpah.

Najib juga berjanji untuk mengkaji semula akta kejam ini, walaupun kita semua sudah terbiasa dengan janji-janji seperti itu.

Ikrar ini diikuti dengan sesi turun padang dan beramah mesra bersama rakyat di merata kawasan di ibu Negara. Najib di lihat bergambar minum teh tarik di Brickfields Kuala Lumpur, dan dilaporkan mengucapkan selamat menyambut perayaan Vasakhi kepada masyarakat Sikh di sebuah gurdwara di Jalan Raja Bot.

Semua ini adalah sebahagian dari kempen beliau menzahirkan cogankata “rakyat di dahulukan” seperti yang dihebah-hebahkannya .

Dan semua ini juga adalah rekasaya kumpulan-kumpulan ‘tukang karut’ (spin doctor) dan penasihat beliau, propaganda yang di paksa suap ke mulut rakyat oleh media yang dikawal BN.

Dalam 100 hari pemerintahnnya, Najib mengumumkan perlaksanaan program Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Index (KPI) bagi menilai prestasi kerja jemaah menteri dan semua kementerian.

Tujuannya adalah supaya kementerian mencapai takat ikhtisas yang baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.

Apa yang ironiknya adalah apabila Najib sendiri mencatatkan keputusan KPI yang mengecewakan. Penilaian ini dibuat oleh dua pemimpin utama dalam Umno sendiri.

Dalam hebat pemikir-pemikir Najib merancang, malang bagi Najib apabila sekutu-sekutu kuat kini bertukar seteru.

Tengku Razaleigh tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Perak dan menggesa mandat dipulangkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan negeri sekehendak mereka.

Isu pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang yang melonjak dari RM1.1 bilion kepada RM12.5 bilion telah berlarutan dan sehingga ke hari ini rakyat tidak nampak yang kerajaan akan mengheret mereka-mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya bermati-matian berusaha supaya Najib menjadi Perdana Menteri sudah berpaling-muka dan berkata 100 hari Najib lebih banyak yang “negatif daripada positif”.

Sekiranya dalam masa satu ratus hari sahaja lebih banyak negative dari yang positif, kita sebagai rakyat biasa amat bimbang apa yang akan berlaku dalam jangka waktu yang panjang.

Mengimbas kembali apa yang disebutkan Tun Mahathir tempoh hari, Najib mahu popular katanya. Bagi Tun, isu pokoknya adalah Najib masih memilih “orang-orang yang korup” menduduki kerusi-kerusi dalam Kabinet.

Cuma apa yang membezakan Najib dan Perdana Menteri sebelum beliau adalah Najib tidak tertidur dalam menjalankan tugas.

Namun KPI paling bermakna adalah persepsi rakyat sendiri, yang umumnya sedia maklum dengan tingkah-laku Najib dan menteri-menterinya.

Tiada ulasan: