09 Julai 2009

Pembunuhan umat Islam Uighur - PAS kesal dengan China

KUALA LUMPUR, 8 Julai : - PAS menegur Kerajaan China dan tidak setuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya memandang berat terhadap pembunuhan tersebut dan menggesa China menghentikannya seberapa segera.

"Sikap keras pemerintah China amat dikesali.

"PAS menyeru semua pihak sama ada penduduk berketurunan Uighur atau Han agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai," tegasnya.

Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang, mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak.

Sementara itu Bernama melaporkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta China menangani punca masalah yang membabitkan minoriti Muslim berikutan dengan keganasan etnik yang buruk di wilayah Xinjiang baru-baru ini.

"Dunia Islam mengharapkan China, satu kuasa besar dan bertanggungjawab di dunia dengan sejarah hubungan persahabatan dengan dunia Muslim, menangani masalah minoriti Muslim di China dengan satu perspektif yang luas bagi menyelesaikan punca sebenar masalah itu," menurut OIC yang beribu pejabat di Jeddah dalam kenyataan.

Ia menyatakan OIC bersedia menghulurkan bantuan dan mengadakan rundingan dengan kerajaan China mengenai usaha-usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah itu.

Menurut seorang jurucakap, setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu melahirkan kebimbangan terhadap keganasan itu dan penggunaan kekerasan yang tidak sewajarnya semasa insiden itu, yang dianggarkan sekurang-kurangnya 156 terbunuh dan lebih 1,000 orang cedera.

"OIC menggesa kerajaan China menjalankan siasatan dengan segera, berkesan dan telus mengenai keganasan yang serius itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah insiden itu berlaku lagi dan memastikan mangsa-mangsa kejadian ini diberikan pampasan dengan sepenuhnya," kata kenyataan itu.

OIC menyatakan ramai mangsa keganasan itu adalah orang awam yang menunjukkan bahawa prinsip penggunaan kekerasan dan senjata api tidak mengikut undang-undang.

Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.

Sumber : Harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAS perlu adil dalam hal ini kerana Muslim Uyghur juga membunuh orang awam berbangsa Han dalam kejadian ini. Daripada beratus orang yang mati dalam rusuhan kaum ini, kebanyakannya berbangsa Han. Walaupun semua pihak sedia maklum bahawa orang Islam Uyghur didiskriminasi oleh kerajaan China dan penduduk Han, membunuh orang bukanlah satu perkara yang elok. Jadi di samping menyeru kerajaan China supaya berhenti menekan orang Uyghur, PAS juga perlu menyeru saudara-saudara Uyghur kita supaya memilih jalan keamanan.

Tanpa Nama berkata...

betul kata awak diatas, mengikut sejarah orang islam Uyghur sudah lama bersabar dan berdiam diri. dihina,dicaci dan tidak diberikan pembelajaran yang sempurna ( ilmu agama ) menyebabkan emosi serta tingkahlaku mereka berubah serta-merta. memilih jalan keamanan memang betul tapi tanpa ada ilmu "setinggi gunung" keamanan tidak akan tercapai sampai bila bila. itu salah satu faktor kenapa umat islam senang ditindas macam "sampah". kalau mereka mempertahankan diri disebabkan agama serta tempat "tidur dan rezeki" diserang oleh orang lain dan ingin membunuh mereka dan ada yg terbunuh, ia dikira mempertahankan diri. undand-undang "manusia" pun dah tercatat. tapi kalau membunuh membuta tuli itu dah kira salah dari sisi agama serta undang-undang "manusia" jadi kita pun tak tahu apa yang sebenarnya berlaku dekat sana. kebanyakkan media tidak boleh dipercayai. hanya diorang saja yang tahu.