26 Ogos 2009

Dilarang rayu undi: Penyokong bosan, tinggalkan tempat undi

Penyokong-penyokong BN dan PAS kelihatan 'penat' dan hanya duduk di bahu jalan berhampiran pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pasir. Suasana sekitar 12.40 tengah hari. Suara sorakan tidak kedengaran dan kehadiran pengundi juga kurang.

NASIHAT... Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan, Abd. Rahim Mohd. Salleh menasihatkan penyokong PAS menanggalkan lambang parti itu pada topeng perlindungan pernafasan di kawasan Samagagah. Penyokong PAS ini pula berhujah ia cuma topeng perlindungan pernafasan bagi mengelak dijangkiti wabak influenza A(H1N1). SPR menguatkuasakan larangan mempamerkan lambang, logo dan bendera parti di kawasan sekitar pusat pengundian pada hari mengundi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

SEBERANG PRAI: Peratusan pengundi yang keluar mengundi mengalami peningkatan selepas tengah hari tetapi penyokong-penyokong parti yang bertanding pula sudah meninggalkan kawasan pusat pengundian ekoran penguatkuasaan peraturan-peratusan baru di Permatang Pasir.

Penyokong-penyokong parti yang bertindak sebagai perayu bertindak meninggalkan kawasan pusat pengundian sejak 1 tengah hari tadi, dipercayai selepas bosan kerana tidak boleh 'berkempen' dan merayu undi pada minit-minit terakhir kali ini.

Difahamkan ia juga ada kaitan dengan bulan Ramadan yang bermula 22 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, jumlah yang keluar mengundi sudah mencecah lebih 60 peratus setakat 3 petang tadi.

"Sehingga 1 tengah hari, 53.3 peratus sudah keluar mengundi," kata beliau ketika dihubungi.

Kadar itu meningkat kepada 65 peratus setakat 3 petang.

Mengenai trend yang menunjukkan perayu-perayu sudah mula meninggalkan kawasan pengundian, Wan Omar juga mengesahkannya sambil menganggap ia sebagai perkembangan baik.

"Selain bulan puasa, kami juga telah meminta mereka meninggalkan kawasan pengundian. Malah, mereka juga merasakan apabila tidak boleh bawa lambang dan bendera, dan tidak boleh merayu undi, mereka pun sudah rasa bosan dan tiada semangat," katanya.

Kakitangan dan pegawai SPR dengan bantuan polis meminta penyokong-penyokong parti yang bertanding agar tidak menunjukkan lambang dan bendera sambil merayu undi.

Barong dan pusat semakan pengundi juga tidak disediakan kali ini.

Ia sebahagian daripada lapan peraturan dikuatkuasakan pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Suasana juga tidak ceria kerana kenderaan membawa pengundi tidak dibenarkan membawa bendera dan lambang serta logo parti.

Pergerakan lalu lintas yang sesak sebelah pagi juga mula lancar selepas 1 tengah hari.

Kata Wan Ahmad,jika cuaca adalah baik paras keluar mengundi boleh mencapai 70 hingga 75 peratus menjelang 5 petang ini.

Tinjauan mStar Online mendapati bilangan keluar mengundi mula cergas selepas 1 tengah hari tadi.

Difahamkan setakat 1 tengah hari tadi, 48 peratus pengundi Melayu dan 38 peratus pengundi Cina sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain bulan puasa dan hari bekerja kadar peratusan keluar mengundi yang kecil sehingga tengah hari tadi dipercayai berkaitan dengan kesesakan lalu lintas.

mStarOnline/-

2 ulasan:

mAlonG Sufina berkata...

Pilihanraya paling hambar dalam dunia sekarang ni. Pilihanraya kat Zimbabwe pun tak macam ni. Tak gitu YB ?

john berkata...

salahkan SPR...!!!