12 Ogos 2009

Pengurusan jabatan kerajaan Kelantan cekap - MAMPU

KOTA BHARU, 9 Ogos (Hrkh) - Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) memuji kecekapan pengurusan pentadbiran pejabat kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Pengarahnya, Dato' Normah Md Yusof berkata, pentadbiran kerajaan Kelantan begitu proaktif terhadap usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan agensi pentadbiran negeri.

Katanya juga, penyertaan peserta begitu tinggi dalam seminar dianjurkan MAMPU baru-baru ini menggambarkan keprihatinan pengurusan pentadbiran kerajaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Seminar itu dihadiri pegawai tinggi kerajaan, ketua-ketua jajahan dan ketua-ketua jabatan negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Pengurusan dan Transformasi MAMPU, Abdul Rahim Mohd Noor berkata, MAMPU begitu yakin dengan sistem pentadbiran yang diamalkan di Kelantan.

"MAMPU tidak membezakan di antara negeri-negeri di bawah pemerintahan kerajaan pusat atau pun Pakatan Rakyat.

"Oleh itu sekiranya prestasi sedia ada di negeri ini diteruskan serta ditambahbaikan ia akan menjadi kerajaan yang terbaik di negara ini," katanya pada satu program taklimat di sini, baru-baru ini.

Taklimat tersebut memperkatakan tajuk 'Ke Arah Memperkasakan Pengurusan Organisasi Negeri Kelantan'.

Abdul Rahim juga berkata, MAMPU berperanan sebagai penggerak dan agen perubahan pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan awam di negara ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias berkata, pelbagai program dilakukan bagi meningkatkan mutu kerja kakitangan�antaranya mewujud kod etika kepada kakitangan.

Selain itu penggunaan sistem 5S dan pelbagai lagi sehingga menjadikan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: