02 Oktober 2009

Gempa Padang: 200 orang disahkan maut

MUSNAH...Sebuah kereta musnah selepas bangunan berhampiran dengannya runtuh akibat gempa bumi berukuran 7.6 skala ritcher yang berlaku di Padang, barat Sumatera semalam. Kejadian tersebut turut mengorbankan 200 orang setakat ini. Foto AP.

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 200 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat ini.

Priyandi Kardono, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini adalah dari kawasan Padang.

Jumah angka korban dijangka meningkat di kawasan-kawasan lain kerana sistem perhubungan dan komunikasi di kawasan Sumatera barat terputus.

Kardono berkata hampir 500 bangunan runtuh di Padang yang menempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. AP

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital. "Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang esok untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh. BERNAMA

mStarOnline/-

Tiada ulasan: