02 Oktober 2009

Masjid di Shanghai Bersiap Sedia Menyambut Ekspo Dunia Shanghai 2010

Ekspo Dunia Shanghai 2010 akan diadakan secara besar-besaran di Shanghai dari 1 Mei hingga 31 Oktober tahun depan. Setakat ini, 242 buah negara dan pertubuhan antarabangsa disahkan menyertai ekspo tersebut. Dijangkakan lebih 70 juta orang akan mengunjungi ekspo tersebut. Penduduk dari seluruh dunia akan berhimpun di Shanghai untuk bersama-sama menambahkan pengetahuan melalui lawatan ke dewan pameran pelbagai negara yang istimewa dan menyertai aktiviti yang dianjurkan semasa berlangsung ekspo tersebut. Sementara itu, untuk menjayakan Ekspo Dunia Shanghai 2010,

Kerajaan Shanghai berusaha bersungguh-sungguh menyiapkan kerja-kerja bagi persiapan terakhir sama ada dalam bidang pembinaan infrastruktur bandar ataupun latihan sukarelawan. Ini bagi mamastikan Shanghai menghidangkan persembahan kebudayaan yang menarik kepada dunia. Kalangan masyarakat Shanghai juga memberi sokongan besar dan sumbangan masing-masing bagi menjamin ekspo tersebut berjalan dengan lancar.

Terdapat 7 buah masjid di Shanghai, salah sebuah daripadanya, Masjid Huxi yang terletak di jalan Changde, daerah Putuo dibina semula di tempat yang berlainan pada tahun 1990. Reka bentuk masjid tersebut adalah seni bina Arab dan warna keseluruhan bangunannya putih yang amat ketara di antara bangunan kediaman penduduk sekitar. Masjid Huxi merupakan masjid yang pertama dibina semula di Shanghai selepas Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949. Kerajaan Shanghai, Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama Shanghai, Persatuan Islam Shanghai dan masyarakat Islam sama ada dalam dan luar negara telah memberi perhatian dan sokongan besar terhadap pembinaan semula masjid tersebut. Lebih 2.4 juta yuan RMB sumbangan yang dapat dikumpulkan untuk pembinaan semula masjid tersebut.

Ketika wartawan CRI membuat liputan di Masjid Huxi pada hari Jumaat, walaupun masih belum sampai pukul 11 pagi untuk sembahyang Jumaat, ramai penduduk Muslim yang tinggal tidak jauh daripada masjid sudah berpusu-pusu masuk ke masjid. Antaranya, beberapa orang memakai satu tanda kecil berwarna hijau di dada mereka. Ini memang menarik perhatian kami. Selepas bertanya, barulah kami tahu mereka adalah sukarelawan masjid ini. Seorang wanita etnik Hui yang berusia lebih 50 tahun memberitahu wartawan bahawa untuk menyambut kedatangan Ekspo Dunia Shanghai, masjid-masjid di bandar itu telah mewujudkan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada orang Islam tempatan. Mereka ditugaskan mengawal keadaan dan pastikan jemaah yang bersolat di masjid mengikut peraturan terutama semasa berlangsungnya aktiviti keagamaan seperti solat Jumaat. Selain itu, mereka juga membantu kakitangan masjid membersihkan kawasan masjid atau menyediakan jamuan juadah makanan halal. Beliau berkata:

"Kami semua dengan sukarela memberi sumbangan dan bantuan kepada masjid dan juga para jemaah. Ramai orang bersolat pada hari Jumaat atau menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban. Maka, kami datang ke masjid lebih awal untuk membuat persiapan seperti menyapu sampah dan membentang hamparan tikar di halaman. Setiap kali ada majlis keagamaan seperti itu dan ramai datang bersolat, kami akan bertugas mengawal keadaan."

Imam Masjid Huxi, Jin Hongwei memberitahu wartawan, ramai orang asing tinggal, bekerja atau belajar di Shanghai kerana ia bandar raya antarabangsa. Ramai daripada mereka yang beragama Islam selalu bersolat dan menyambut hari raya di masjid ini. Mereka berkawan baik dengan orang Islam tempatan. Beliau menjangkakan lebih ramai sahabat Muslim melancong di Shanghai ketika berlangsungnya Ekspo Dunia pada tahun hadapan. Walaupun kehadiran mereka tidak lama sebagai pelancong sahaja, tetapi mereka akan mendapat perkhidmatan yang memuaskan sehingga bersolat dengan senang hati dalam masjid. Beliau berkata:

"Masjid kami secara terbuka mengalu-alukan kedatangan tetamu yang beragama Islam dari pelbagai negara. Sama ada penduduk Islam tempatan ataupun para sukarelawan yang memberi layanan mesra tentu akan menjadikan mereka merasa mudah dan selesa ketika bersolat di masjid."

Anggota jemaah semakin ramai berkumpul di halaman masjid untuk solat Jumaat. Dewan sembahyang masjid ini sudah dipenuhi orang, maka beberapa orang sukarelawan sibuk membentangkan hamparan tikar pada halaman di luar dewan sembahyang untuk menampung lebih ramai jemaah yang baru sampai bersolat bersama-sama.

Ekspo Dunia Shanghai akan diadakan tidak lama lagi. Dewan pameran yang akan siap dibina terletak di kedua-dua belah tebing Sungai Huangpu. Pudong, kawasan dibahagian timur Shanghai, sebagai kawasan kewangan yang baru selepas pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di Shanghai, sedang berkembang pesat. Masjid Pudong terletak di kawasan tersebut yang merupakan kawasan yang makmur. Keluasan masjid tersebut mencapai hampir 3,000 meter persegi apabila siap dibina semula pada tahun 1999. Ramai warga asing beragama Islam seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Pakistan, India dan beberapa negara Arab bersolat di masjid itu kerana kedudukannya tidak jauh daripada kawasan pembinaan taman ekspo dunia dan kawasan pusat kewangan Lujiazui di Pudong.

Imam Masjid Pudong, Guo Zhizhong menerangkan projek membaiki masjid sedang dijalankan supaya strukturnya lebih rasional dan lebih memenuhi keperluan umat Islam yang berkunjung ke situ. Imam Guo pula pada masa lapang mengajar ramai sukarelawan berbahasa Arab bagi membantu mereka membuat persiapan dengan lebih sempurna ketika berkhidmat pada ekspo dunia. Beliau berkata:

"Saya dijemput mengajar sukarelawan berbahasa Arab oleh Pusat Kebudayaan Pekan Huamu, bandar Shanghai sejak dua tahun lalu. Saya telah mengajar peringkat asas bahasa dalam tiga sesi. Bermula pada bulan Jun tahun ini, saya diminta mengajar bahasa peringkat tinggi. Mereka bukan hanya terdiri daripada etnik Hui. Saya berharap mereka dapat menguasai bahasa Arab supaya boleh berkomunikasi kerana bermanfaat bagi mereka untuk berkhidmat pada ekspo dunia. "

Masjid Xiaotaoyuan yang terletak di No. 52 Jalan Xiaotaoyuan, Daerah Huangpu di bahagian selatan Shanghai dibina pada tahun 1917. Pada tahun 1925, masjid ini dibina semula pada tapak yang sama. Projek pembinaan kali ini mengambil masa selama lima tahun iaitu siap pada tahun 1930. Reka bentuk bangunan Masjid Xiaotaoyuan penuh dengan keistimewaan seni bina Islam seperti di tanah Arab.

Masjid Xiaotaoyuan juga merupakan ibu pejabat Persatuan Islam Shanghai. Pengerusi Persatuan Islam Shanghai yang juga Imam Masjid Xiaotaoyuan, Haji•Hassan•Bai ketika diwawancara wartawan berkata, Ekspo Dunia Shanghai adalah temasya yang sungguh meriah yang dinanti-nantikan oleh ramai orang. Dengan itu, pelbagai kalangan masyarakat Shanghai termasuk Persatuan Islam Shanghai aktif berusaha memberi sumbangan yang sewajarnya terhadapnya. Kata beliau:

"Semasa Ekspo Dunia berlangsung di Shanghai, ramai orang Islam, sama ada dari dalam atau luar negara akan bersolat di masjid-masjid di Shanghai. Oleh itu, kami mengambil peluang ini mengubahsuai dan memperbaiki masjid. Menurut rancangan keseluruhan terhadap kesemua 7 masjid di Shanghai, dua daripada masjid berkenaan akan dibina semula di tempat yang tidak sama, manakala lima buah masjid akan diperbaiki di tapak asalnya. Sebagai contoh, Masjid Xiaotaoyuan, masjid yang kita berada sekarang akan dirobohkan sebahagian bangunannya dan kemudian dibina yang baru. Projek-projek tersebut dijangka menelan belanja kira-kira 30 juta yuan RMB."

Mengenai masalah makanan halal semasa Ekspo Dunia Shanghai berlangsung, Imam Haji•Hassan•Bai menerangkan kerajaan mengambil berat terhadap makanan halal bagi umat Islam semasa Ekspo Dunia Shanghai berlangsung. Makanan halal bukan sahaja disediakan dalam taman ekspo tersebut, malah di beberapa pusat lalu lintas yang penting supaya memenuhi keperluan umat Islam. Beliau berkata:

"Semalam saya berbincang dengan seorang pemimpin bandar Shanghai di sini. Saya cadangkan rangkaian bekalan makanan halal yang mengikut piawaian disediakan di stesen bus, kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang supaya orang Islam boleh mendapatkan makanan halal dengan lebih mudah. Beliau sangat bersetuju dengan cadangan saya dan menyatakan perkara tersebut patut diselesaikan menjelang Ekspo Dunia Shanghai."

Shanghai, bandar raya yang menarik sedang bersiap-sedia dengan aktif untuk menyambut kedatangan Ekspo Dunia 2010. Kami yakin bahawa masjid-masjid yang terletak di pelbagai daerah di Shanghai akan memberi kenangan yang baik dan mendalam kepada orang Islam dari seluruh dunia. CRIonline/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam YB tunjuk sekali foto masjid tu,syok sikit