02 Oktober 2009

Lagi gempa di Sumatera, gegaran dirasai di Semenanjung

Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter, menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 km di Barat laut Bengkulu, Indonesia pada jam 9.53 pagi ini.

Pusat gempa bumi itu terletak di 2.6 darjah Selatan dan 101.8 darjah Timur iaitu kira-kira 509km barat daya Johor Baharu menyebabkan gegaran dirasai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan itu.

Semalam, sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat.

Menurut Bernama, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.

"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di Jakarta malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di Jakarta tidak dapat berangkat ke Padang malam tadi kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang ke Padang esok (hari ini) untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh.

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: