15 September 2009

Guru KAFA Negeri Sembilan miskin tegar

Oleh : Suara N9

Utusan Malaysia 15 Sep 09

SAYA salah seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Negeri Sembilan (NS), ingin melahirkan rasa sedih di atas apa yang berlaku kepada kami yang hanya mendapat elaun bukan gaji sebanyak RM500 sebulan.

Bagi kami di NS, sudah berapa kali disajikan dengan cerita kenaikan tetapi sampai sekarang masih tiada apa-apa berita.

Pada awal tahun, penyelia Kafa telah memberi jaminan jika Kafa Wilayah Persekutuan mendapat kenaikan elaun maka kami di Negeri Sembilan mungkin akan mengikut jejak yang sama.

Kemudian pertengahan tahun, kami diberitahu bahawa Jakim akan menyemak elaun kami dan daripada pihak Cuepacs pun ada mencadangkan agar guru Kafa dijadikan jawatan tetap.

Tetapi apa yang amat menyedihkan sampailah surat ini ditulis, semua khabar itu umpama mainan politik sahaja.

Apakah kami yang lulusan agama ni tidak layak untuk menikmati kemudahan seperti kakitangan awam yang lain.

Cubalah pembaca sekalian mencongak apa yang kami boleh buat dengan elaun RM500 itu?

Tidak cukup sampai hujung bulan pun, kami termasuk dalam kategori rakyat termiskin.

Memanglah kami mengajar hanya 10 jam seminggu tetapi sepenuh masa di dalam kelas walaupun ada pertukaran kelas.

Tidak seperti guru KPM yang mengajar sebelah pagi walaupun 6 jam di sekolah bukan sepenuh masa ada kelas, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk berehat.

Hari ini kakitangan sokongan mendapat duit raya sebanyak RM500 walaupun gaji mereka hampir RM1,000 sebulan.

Guru Kafa mahu merasa duit raya, nampaknya tidak adalah.

Alasan yang selalu diberi biarlah kita ini bekerja kerana Allah.

Maaflah andai surat ini mengganggu JAKIM, JAINS dan sesiapa yang terlibat, tetapi inilah luahan rasa hati kami guru-guru KAP yang sekadar bergantung kepada elaun RM500 untuk hidup.

1 ulasan:

Unknown berkata...

tu yang ramai guru kafa berhenti jd guru sbb perlu cari kerja yg setimpal dgn kerja mereka. kesian..