15 September 2009

Ziarah-Bantuan

Oleh : khairul azman sakri

LENGGONG: Program Ziarah-Bantuan anjuran Pas Cawangan Kampung Luat dekat sini semalam, membuka peluang kepada Yang Dipertua Pas Lenggong, Razman Zakaria mendekati beberapa penduduk yang sedang terlantar sakit.

Salah seorang penduduk berkenaan ialah Husin Awang Long, 70, yang diserang demam chikungunya sejak Ogos lalu yang kini terlantar di rumahnya di Kampung Talong, Luat.

Husin yang sebelum ini bertugas sebagai amir zakat bagi kariah itu tidak lagi dapat menyambung tugasnya kerana sakit, selain tidak lagi mampu untuk ke surau menunaikan solat berjamaah.

Razman juga berkesempatan menziarahi sambil menyampaikan bantuan kepada seorang pemuda cacat, Badri Yusof yang juga tinggal di Kampung Talong, Luat da seorang pesakit kencing manis di kampung Sandarhalu, Luat.

Sempena program itu, Razman yang disertai lebih 10 Ahli Jawatankuasa Pas Cawangan Kampung Luat, telah menyampaikan bantuan berupa beras, gula, jus minuman berperisa dan buah korma kepada 40 penerima.

Hadiah berupa sehelai kain pelekat dan sehelai kain batik turut disampaikan kepada seluruh keluarga di Kampung Luat bagi meringankan penduduk yang terpaksa mengeluarkan banyak belanja untuk menyediakan pakaian menyambut Aidilfitri nanti.

Razman yang juga Ketua Pas Cawangan Kampung Luat, ketika ditemui, berkata setelah berkesempatan menziarahi penduduk sambil menyampaikan bantuan dan hadiah, baru benar-benar dirasainya pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat kampung.

Katanya, melalui program sepetang itu juga, beliau dapat merasakan betapa peritnya penderitaan penduduk, terutama yang sedang terlantar sakit dan yang benar-benar berada dalam kedaifan.

"Kalau tidak diadakan program secara ziarah begini saya sendiri pun tidak tahu mana-mana penduruk kampung saya yang sedang sakit atau penduduk yang kehidupannya benar-benar daif.

"Setelah melihat keadaan sebenarnya, saya amat prihatin dan insaf dengan kehidupan kita di dunia ini yang sebenarnya tidak ada apa untuk kita bermegah," katanya.

Tiada ulasan: