20 September 2009

PERUTUSAN HARI RAYA KETUA KELAB PENYOKONG KERAJAAN DUN KEDAH - YB Ustaz Yaakub Husin

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan Al Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.

Dalam istilah Arab 'Idulfitri' iaitu rangkai kata 'id dan al-fitr. Kata 'id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'aud' ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala 'fitr' bermakna fitrah atau semula jadi.Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing. Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.

Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: "Hiasilah hariraya kamu dengan takbir." (Riwayat Tabrani)Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat. Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)

Doa pada malam raya diperkenankan Allah, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: "Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban."Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.

Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi' dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan 'beraya sakan'.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas dari,

YB Ustaz Yaakub Husin
ADUN Bandar Baharu, Kedah /Ketua Kelab Penyokong Kerajaan DUN Kedah
http://yaakubhusin.blogspot.com

Tiada ulasan: