03 Oktober 2009

Malaysia Hantar Pesawat Tentera Bawa Pulang Penuntut Malaysia Dari Padang

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia Khamis malam menghantar tiga pesawat tentera ke Padang dalam misi membawa pulang hampir 300 penuntut Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi di Sumatera barat, Indonesia.

Tiga pesawat pengangkut jenis Hercules, yang membawa 26 orang termasuk 11 wakil media berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 11.45 malam menuju ke Padang.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab yang berada di pangkalan itu berkata pesawat yang membawa pulang penuntut terbabit di jangka tiba di Pangkalan TUDM pada 5 pagi hari Jumaat.

Angkatan Tentera Malaysia telah bersiap sedia untuk misi itu selepas gempa bumi kuat berskala 7.6 Richter melanda Padang dan menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk.

Jabatan Penuntut Malaysia melaporkan semua pelajar Malaysia selamat dan akan dibawa pulang sehingga keadaan pulih memandang universiti dan tempat tinggal mereka mengalami kerosakan akibat gempa itu.

"Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan. Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain memberitahu wartawan Bernama di Jakarta.

Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

"Malaysia sangat terkejut dan sedih berikutan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang berlaku," menurut kenyataan Wisma Putra.

Gempa bumi itu yang gegarannya dirasai di pantai barat Semenanjung merupakan yang paling dahsyat melanda Sumatera selepas gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter pada Disember 2004 yang meranapkan Aceh dan menyebabkan tsunami di lautan Hindi.

Pemerintah Indonesia menganggarkan jumlah kematian akan mencapai angka ribuan kerana masih ramai mangsa yang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan lebih 1,000 bangunan termasuk hotel dan rumah serta prasarana lain.

Di JAKARTA, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menerima baik sebarang bantuan segera daripada Malaysia dan negara lain dalam usaha membantu mangsa bencana gempa bumi di Sumatera barat, Khamis petang.

Beliau berharap dengan semangat kerjasama Asean dan negara sahabat, mereka boleh menghulurkan bantuan seberapa segera ke kawasan yang dilanda gempa itu. Dalam pada itu, Mercy Malaysia hari ini menghantar dua anggota untuk membuat penilaian bagi menentukan bantuan kemanusian yang diperlukan.

"Peruntukan awal sejumlah RM100,000 telah disediakan daripada dana kecemasan sebagai maklum balas terhadap bencana ini," menurut Mercy Malaysia dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berkata gegaran susulan dijangka berterusan untuk beberapa hari tetapi orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kekuatan gegaran itu dijangkakan semakin lemah.

Satu daripadanya sekuat 6.8 pada skala Richter turut dirasai di Semenanjung pada pukul 9.53 pagi hari Khamis iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Drs,Usaha membawa pulang 300 pelajar perubatan dr Universiti Andalas adalah tindakan proaktif.Trauma mereka dpt diredakan tika disamping keluarga.Punbegitu jalan keluar wajar dikenalpasti penaja utk menempatkan mereka sementara di IPTA atau IPTS sekira prasarana Fakulti Perubatan Universiti Andalas yg ranap punah tidak dpt dibangunkan dlm waktu terdekat.Semoga modal insan ini tidak terlepas pandang oleh pihak berwajib.Salam takziah buat sdra serumpun. Nona Ratana Chulaborn.