12 November 2009

Cao Mu Jie Bing : Rumput dan Pokok Semuanya Nampak Seperti Tentera Musuh


Pada zaman Dinasti Jin Timur, raja negeri Qianqin, Fu Jian telah menguasai bahagian utara China. Pada tahun 383 Masihi, baginda merancang untuk menyerang negeri Jin di sebelah selatan. Apabila mendapat berita bahawa jumlah tentera negeri Jin amat sedikit, Fu Jian segera mengetuai tenteranya yang berjumlah 900 ribu orang, mara ke negeri tersebut. Baginda tidak mahu terlepas peluang yang terbaik untuk berperang.

Bagaimanapun, di luar sangkaan Fu Jian, barisan hadapannya dengan jumlah 250 ribu orang askar itu, telah dikalahkan dalam serangan mengejut yang dilancarkan oleh tentera Jin di sekitar bandar Shouchun, hingga sekian banyak nyawa yang terkorban. Kekalahan itu menyebabkan tentera Qianqin berasa sangat takut sehingga hilang semangat untuk berjuang, malah ingin melarikan diri.

Pada ketika itu, Fu Jian yang berada di atas tembok bandar Shouchun itu, ternampak pasukan tentera Jin yang segak bergaya dengan semangat perjuangan yang cukup membara. Ketika memandang ke arah Gunung Bagong di sebelah utara pula, baginda berasa bahawa rumput dan pokok di gunung itu semuanya nampak seperti tentera musuhnya. Baginda berasa amat gerun, dan bertitah kepada adiknya:

"Alangkah hebatnya musuh kita! Siapalah yang mendakwa kekuatan tentera mereka tidak cukup hebat?"

Fu Jian berasa sesal sekali kerana telah memandang rendah terhadap lawannya sehingga mengalami kerugian yang begitu besar.

Inilah asal usul peribahasa "Cao Mu Jie Bing" mula digunakan untuk menggambarkan betapa teruknya kekalahan yang dialami oleh tentera yang diketuai oleh Fu Jian itu. Peribahasa "Feng Sheng He Li", atau "terkejut ketika terdengar deruan angin dan bunyi burung jenjang", membawa erti yang sama dengan "Cao Mu Jie Bing". , atau "terkejut ketika terdengar deruan angin dan bunyi burung jenjang", membawa erti yang sama dengan "Cao Mu Jie Bing". Kedua-dua peribahasa ini membawa pengertian psikologi tentang seseorang yang mudah terkejut atau berasa takut dengan sesuatu yang dibayang-bayangkannya. CRI/-

Tiada ulasan: