04 Disember 2009

Banjir: Husam cadang tangani pemanasan global dengan guna baja organik

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berpendapat Kerajaan Persekutuan perlu menangani masalah pemanasan global, sekiranya serius mahu menangani masalah banjir di Malaysia.

Cadangan itu, disampaikan dalam rancangan Agenda Awani, suatu rancangan terbitan Astro saluran 501 semalam.

“Kalau dari segi banjir, ianya berkaitan pemanasan global. Salah satu dari puncanya adalah pembebasan karbon (dioksida).

“Kalau kita terlalu memikirkan bagaimana menangani fenomena banjir yang besar, tanpa memberikan penyelesaian pada puncanya, saya ingat ianya (kos pengurusannya) akan menjadi mahal,” kata Husam.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat mendakwa kerajaan tidak serius menyelesaikan masalah banjir, jika diukur pada polisi pertanian padi menggunakan bahan kimia.

“Saya lihat Malaysia masih belum serius menangani pemanasan global ini...kalau kita gunakan baja organik menggantikan baja kimia, kita boleh mengurangkan pembebasan karbok (dioksida) yang tinggi ini.”

“Kita ambil penaman padi umpamanya, saya lihat kerajaan masih menggalakkan penggunakan bahan kimia, yang juga penyumbang pada pembebasan karbok (dioksida) yang tinggi,” kata Husam.

Di Kelantan, Husam memperkenalkan penanaman padi organik yang tidak menggunakan bahan kimia. Ia dijadikan contoh oleh kerajaan negeri untuk diamalkan di seluruh negeri Kelantan.

Husam turut dilihat memanfaatkan kesempatan di udara selama 30 minit turut menasihatkan kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar bersikap terbuka dengan kerajaan negeri, dalam hak menguruskan wang royalti minyak Kelantan.

“Kita perlu ada sikap terbuka dengan idea yang baru dan yang berbeza yang berasaskan keadilan...Perdana Menteri kita (iaitu) Datuk Seri Najib Tun Razak perlu beri duit itu kepada (kerajaan) negeri.

“Jika (kerajaan Pusat) mahu menguruskan bersama duit royalti dengan (kerajaan) Negeri, itu boleh dibincangkan, tetapi janganlah diletakkan di bawah ketiak kita, kerana itu duit orang (kerajaan Kelantan),” katanya.

Beliau turut menganggap alasan Najib tidak logik – Kelantan tidak layak mendapat royalti minyak kerana perjanjian petroleum dilakukan antara Malaysia dan Thailand, bukannya antara Kelantan dan Thailand.

“Duit itu milik rakyat Kelantan, mengapa diletakkan di bawah pusat dengan alasan-alasan yang tidak lojik.

(Gambar: MB Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz melihat padi organik pertama yang di perkenalkan di Kelantan dengan diperhatikan Husam dan pelopornya yang dibawa dari Indonesia...Husam berkata padi organik boleh kurangkan pemanasan global)

“Kawasan Perairan Bersama (JDA), paling dekat Kelantan iaitu 150 kilometer, tetapi paipnya tidak dinaikan di Kelantan (dan) sengaja dinaikkan di Songkla (Thailand) yang jauhnya 230 kilometer,” dakwa Husam.

Baginya, penafian hak kerajaan negeri Kelantan menguruskan wang royalti minyaknya membuktikan kerajaan pusat berfikiran primitif.

“Kalau perkara sekecil itu pun, (kerajaan) Pusat masih berfikiran primitif, sudah tentu sukar bagi kita menemui kebijaksanaan yang baik untuk Malaysia,” katanya.

Rancangan yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman turut menampilkan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed selaku panel regu Husam.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: