04 Disember 2009

Mangsa banjir dapat bantuan Istana Kelantan

PASIR MAS, 2 Dis: Mangsa banjir yang berduka akibat air bah dua kali melanda rumah mereka terubat apabila turut mendapat perhatian segera daripada kerajaan negeri dan pihak istana.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco serta wakil rakyat menghulur bantuan awal kepada mereka.

Begitu juga pihak istana apabila Pemangku Raja, Tengku Mohammed Faris Petra hadir menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Krai baru-baru ini.

Dan semalam mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat menerimaan bantuan bantuan yang disampaikan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhamad Fa-iz Petra bertempat di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas
dekat sini.

Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, seramai 325 mangsa banjir iaitu 179 orang dari Pasir Mas dan 146 (Tumpat) menerima bantuan tersebut.

Katanya, tahun ini Pasir Mas dilanda banjir sebanyak dua kali iaitu pada 6 hingga 10 November membabitkan seramai 1,980 mangsa.

Manakala banjir yang berlaku kali kedua pula pada 21 hingga 26 November melibatkan mangsa seramai 1,997 orang.

“Banjir yang berlaku di Tumpat juga dua kali iaitu pada 6 hingga 12 November lalu dengan jumlah mangsa seramai 1,326 orang, manakala banjir kedua pada 22 hingga 27 November membabitkan mangsa seramai
957 orang.

“Pelbagai bantuan asas berupa makanan, minuman, kain selimut, rawatan kesihatan dan pengangkutan diberikan kepada mangsa banjir,” katanya pada satu kenyataan media di sini.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

Selain itu, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, anggota tentera, polis, bomba dan NGO.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: