24 Februari 2010

YDP beraya di rumah Cina.

9 Rabiul Awwal 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Dalam kesibukan mengisi jadual pelbagai program PAS kawasan, negeri dan pusat, Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria masih berpeluang melawat rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat apabila berkunjung ke rumah pimpinan dari kaum Cina sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Beliau bersama rakan-rakannya telah berkunjung ke rumah Ketua DAP Lenggong, Wong Sae Long di Kampung Baru Air Kala dekat sini dengan disambut mesra pimpinan dan beberapa orang penduduk di situ.

Beliau dan rombongan dijamu minum air kotak, buah limau dan kacang goreng.

Kunjungan ke rumah Pimpinan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Lee Saw Seong sebelum itu lebih menarik apabila YDP dan rombongan dijamu lemang, rendang pedas ayam dan masak kicap daging sepertimana juga kebiasaan menu utama orang Melayu.

Lee yang tinggal di Kampung Baru Selat Pagar dekat sini, berkata memang pada setiap kali menyambut Tahun Baru Cina beliau meminta kawannya (Melayu) yang tinggal di Kampung Sumpitan, Lenggong membuatkan lemang serta lauk pauk untuk beliau dan keluarganya.

"Saya dan ahli keluarga saya memang suka makan lemang, lauk rendang pedas ayam dan memang setiap tahun saya minta kawan saya buatkan lemang untuk kami sekeluarga.

"Kebetulan kali ini Haji Razman dan kawan-kawan datang dan sudi makan lemang kami, terima kasih banyak-banyak kerana ini membuktikan PAS tidak menutup pintu bagi kaum lain berbaik-baik," katanya.

Lee kemudiannya menyampaikan angpau kepada rombongan Razman dan sebelum berpisah mereka sempat bergambar ramai di depan Pejabat PKR Selat Pagar.

Sementara itu, Razman dan rombongan sempat menghadiri tiga kenduri serentak pada hari sama, iaitu di Kampung Gelok, Lenggong, Padang Kunyit dan Air Suda di Gerik.





2 ulasan:

Faiz Zent berkata...

great!

Awanama berkata...

salam ydp...semoga pilihanraya depan ydp dapat lah kerusi di kawasan kami..tak kisah lah DUN Kota Tampan atau Parlimen Lenggong. Kami melihat cara kerja YDP masa kini InsyaAllah tak mustahil YDP. Takbir....!!!(Kita rebut DUN pun ok )