05 Februari 2010

Hakikat orang kanan Najib tak setuju 1Malaysia

20 Safar 1431H

PETALING JAYA, 3 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menerima hakikat bahawa orang kanannya sendiri pun tidak memahami atau bersetuju dengan konsep 1Malaysia yang diwar-warkannya sendiri, apatah lagi seluruh jentera pelaksana dan barisan pimpinan BN.

Ini ekoran kenyataan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas Najib yang merupakan tanda kegagalan konsep dan pelaksanaan projek 1Malaysia yang telah menelan berjuta-juta ringgit duit rakyat.

Ketua Penerangan Selangor PKR Selangor, Dr Tan Yee Kiew berkata, kenyataan Nasir itu menunjukkan kegagalan pucuk pimpinan Barisan Nasional, khususnya Najib sendiri dalam menterjemahkan konsep 1Malaysia ke dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia.

“Hakikatnya konsep 1Malaysia di dalam papan iklan, siaran radio dan televisyen, program indoktrinasi seperti seminar dan forum, dan papan tanda klinik kesihatan lebih bersifat kepentingan hiasan tingkap yang menghabiskan wang rakyat, dan bukannya kepentingan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.

Katanya, walaupun Nasir telah melepaskan jawatannya bagi menjaga imej Perdana Menteri, namun pihaknya yakin rakyat akan menyokong perubahan dasar yang sebenar sepertimana dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dan bukannya perubahan slogan yang kosong.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: