19 Februari 2010

Lawatan Pusat Ternakan Haiwan Lenggong (PTHL) di Sumpitan

4 Rabiul Awwal 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Ahli Jawatankuasa Lajnah Pertanian PAS Pusat yang memilih Lenggong sebagai tuan rumah mesyuaratnya baru-baru ini telah memanfaatkan masa terluang lain apabila mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Ternakan Haiwan Lenggong (PTHL) di Sumpitan dekat sini.

Lajnah yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Kedah, Ir Datuk Haji Amiruddin Hamzah itu bersama rombongan kira-kira 20 orang terdiri kebanyakannya AJK beliau turut melawat bengkel produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Kampung Ulu Jepai.

Terdahulu, pada sebelah malamnya, beliau sendiri mengisi slot utama pada program ceramah di Markaz PAS Kampung Padang Kunyit, Gerik, di mana turut berceramah ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dan Ketua Dewan Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Abdul Karim Mahmud.

Dalam lawatan sambil belajar ke PTHL, rombongan Lajnah Pertanian yang sampai jam 9.20 pagi disambut pihak pengurusan PTHL diketuai Dr Mohd Azizul Ismail sebelum diberikan taklimat di bilik khas pejabat ladang berkenaan.

Taklimat selama sejam disampaikan sendiri oleh Azizul dengan dibantu dua pegawai kanannya dengan respon memberangsangkan daripada pihak rombongan Lajnah Pertanian PAS Pusat apabila tampil mengemukakan banyak soalan dalam sesi soal jawab.

Rombongan Lajnah yang diberikan kerjasama penuh oleh Lajnah Petani, Nelayan dan Peneroka (PNP) PAS Perak diketuai Razman kemudiannya dibawa melawat ladang dan sekali lagi diberikan taklimat di rumah gelap di tengah-tengah padok rusa.

Selepas lawatan ke ladang, rombongan kemudiannya menikmati hidangan lazat sup rusa segar oleh pihak pengurusan PTHL.

Selepas lawatan sambil belajar ke PTHL, rombongan Lajnah Petani PAS Pusat kemudiannya dibawa IKS di kampung Ulu Jepai, Gelok, lenggong yang menghasilkan produk baja dan makanan ikan.

Pada sebelah petangnya Lajnah berkenaan mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Rumah Rehat Lenggong sebelum masing-masing berlepas pulang jam 6.








Amiruddin (2 dari kiri), Razman (kiri sekali) dengar taklimat Azizul depan rumah gelap di tengah-tengah ladang.


Amiruddin dan Razman cuba bermain dengan rusa jantan jinak.


Bergambar ramai depan pejabat PTHL. Amiruddin (11 dari kanan), Razman (13 dari kanan) dan Azizul (12 dari kanan)

Tiada ulasan: