25 Februari 2010

PAS pantau pembinaan SK Seri Perak

10 Rabiul Awwal 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dan PAS Kawasan Batu akan terus memantau pembinaan Sekolah Kebangsaan Seri Perak di Bandar Baru Sentul, dengan memberikan tekanan politik secara berterusan kepada kerajaan supaya ia benar-benar dilaksanakan.

Meskipun Timbalan Menteri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam lawatannya ke sekolah itu pada 16 Januari lalu mengumumkan akan membina semula sekolah yang telah dibatalkan pada tahun lalu itu, namun PAS bimbang ianya hanya janji kosong.

PAS bimbang pelaksanaan projek itu menemui kegagalan sekali lagi seperti yang berlaku tahun lalu apabila rojek yang telah diluluskan beserta peruntukan, dan papan tanda projek sudah dinaikkan serta rumah kongsi dibina dibatalkan oleh kerajaan atas alasan dibantah oleh penduduk kerana mengakibatkan kehilangan tempat letak kereta mereka.

Perkara itu dinyatakan dalam nota yang diserahkan kepada penolong kanan sekolah, Hazijah Mohd Som pagi tadi.

Beberapa wakil dari PAS Wilayah diketuai Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad dan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin mengunjungi pihak sekolah berkenaan dan menyerahkan nota tahniah dan penghargaan kepada pihak sekolah di atas pembinaan semula projek itu seperti yang dijanjikan Muhyiddin.

PAS turut menyifatkan alasan yang diberikan kerajaan untuk membatalkan projek itu dahulu sebagai sesuatu yang memalukan dan memberikan gambaran seolah-olah tempat letak kereta lebih penting daripada sebuah sekolah untuk mendidik anak-anak bangsa di kawasan itu.

PAS Wilayah dan Batu memandang serius terhadap pembatalan projek pembinaan sekolah itu bagi menggantikan penempatan sekolah yang masih berada di bawah empat blok flat 17 tingkat milik Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) di Bandar Baru Sentul, awal tahun lalu.

Rentetan daripada pembatalan itu, PAS membuat pelbagai usaha bagi mendesak kerajaan meneruskan projek itu termasuk membawa lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada November tahun lalu untuk meninjau keadaan sekolah itu secara lebih dekat.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Firdaus Jaafar(Jerai).

Seterusnya isu sekolah itu dibahaskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu sebelum Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said pula mengunjungi sekolah tersebut.

Satu laporan juga dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengesyaki ada unsur-unsur penyelewengan hingga membawa kepada pembatalan projek pembinaan sekolah berkenaan walaupun semuanya telah diluluskan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: