15 April 2010

TERIMA KASIH SEMUA - ADUN CHANGKAT JONG

30 Rabiulakhir 1431H.
http://serikandipas.blogspot.com/




TELUK INTAN, 14 April - Setelah tujuh hari berada di Wad 2D Hospital Teluk Intan, alhamdulillah akhirnya ADUN Kawasan Changkat Jong YB Haji Mohd. Anuar bin Sudin dibenarkan keluar petang tadi. Beliau telah dimasukkan pada tengah malam hari Khamis minggu lepas setelah pundi kencing dijangkiti kuman.

Wajah beliau kelihatan ceria ketika meninggalkan wad. Sepanjang beliau berada di hospital, beliau dan isteri, Puan Hajjah Faridah Rajiah tidak putus-putus menerima kunjungan para tetamu yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Cukup membuktikan bahawa ADUN Changkat Jong ini sangat disayangi rakyat.


YB Anuar dan isteri sempat bergambar kenangan bersama kakitangan di Wad 2D sebelum keluar.

Dalam pertemuan singkat petang tadi, beliau dan isteri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mengunjungi beliau sewaktu berada di wad. Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap pimpinan PAS semua peringkat, ahli-ahli PAS, pimpinan PR, Dewan Himpunan Penyokong PAS, ahli-ahli politik, sanak saudara serta semua rakyat yang telah mendoakan akan kesejahteraan kesihatan beliau.


Tinggal kenangan katil nombor 27 di Wad 2D.

"Terima kasihlah kepada semua. Berkat doa semua, alhamdulillah kesihatan saya semakin baik," kata beliau.

Tidak lupa juga, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Hospital Teluk Intan yang telah memberikan layanan yang baik semasa beliau berada di sana.

"Saya amat berterima kasih kepada para doktor, jururawat serta kakitangan Hospital Teluk Intan yang sentiasa memberikan layanan yang baik dan mesra terhadap saya dan isteri," ujar ADUN Changkat Jong.

Isteri beliau, Puan Hajjah Faridah turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang hadir dan prihatin akan keadaan kesihatan suaminya. Beliau juga amat menghargai akan sokongan para muslimat sepanjang menjaga suami beliau di wad.

Turut menyatakan ucapan terima kasih ialah pembantu khas ADUN, Haji Mohammmad Akram. Beliau menghargai akan keprihatinan masyarakat Teluk Intan akan kesihatan YB Hj. Anuar. Beliau berharap orang ramai sama-sama mendoakan agar kesihatan ADUN Changkat Jong akan bertambah baik dan dapat meneruskan tugas berbakti kepada pengundi di kawasan Changkat Jong.

2 ulasan:

mekjah berkata...

salam, alhamdulillah berkat doa rakyat seperjuangan....

Tanpa Nama berkata...

Kenapa tak siarkan gambar MB Zambri melawat Yb Changkat Jong...............