25 Mei 2010

Tanah RTB: BN iktiraf usaha PAS bantu rakyat

10 Jamadil Akhir 1431 H

SETIU, 23 Mei: Langkah Kerajaan BN Terengganu untuk mengagihkan lot kediaman rancangan tanah berkelompok (RTB) secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah mengagihkan lot-lot tanah kediaman RTB kepada rakyat yang berhak adalah antara fokus utama Kerajaan Terengganu pimpinan PAS antara tahun 1999 hingga 2004.

Beliau menyatakan sebagai merujuk laporan akhbar harian baru-baru ini yang menyatakan kerajaan negeri akan mengagihkan kira-kira 500 lot kediaman RTB kepada penduduk kampung bagi mengatasi masalah kesulitan tempat tinggal di empat lokasi di Langkap, tahun ini.

Antara kawasan terbabit ialah Chalok Kedai (130 lot), Sungai Lerek (120), Merbau Menyusut (120) dan Kampung Bukit (120).

Azman berkata, puluhan ribu lot tanah RTB telah diagihkan kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk pemberian Lesen menduduki Sementara (LMS) sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan oleh kerajaan PAS sebelum ini, tidak terkecuali di daerah Setiu amnya dan Dun Langkap khususnya.

“Selepas pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan pasca pilihan raya umum 2004, Kerajaan BN telah bertindak zalim dengan tindakan pembatalan Lesen Menduduki Sementara(LMS), tanah yang diagihkan Kerajaan PAS sebelum itu dirampas secara zalim,” ujarnya.

Malah, katanya ada rakyat yang telah mendirikan rumah di tanah tersebut, dirobohkan seperti yang berlaku di Pengkalan Merbau dalam Dun Langkap (gambar).

Ini, tambahnya sebagaimana yang berlaku kepada seorang anggota tentera yang baru pulang bertugas, masih lengkap beruniform menangis pilu di atas runtuhan rumahnya di RTB Pengkalan Merbau.

“Bukan setakat rumah penduduk, malah rumah Allah yang didirikan juga tidak terkecuali dari menerima nasib sama, dirobohkan, seperti kes di RTB Bujal,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dendam kesumat kerajaan BN lebih terserlah apabila apabila rakyat yang telah menjelaskan bayaran premium tanah bagi proses pengeluaran geran kekal menerima surat daripada pejabat tanah daerah yang mengarahkan pemohon supaya mengambil balik bayaran premium yang telah dibayar dan permohonan mereka dibatalkan.

Kini, katanya kerajaan BN negeri cuba memulihkan imej dengan berlagak baik dan prihatin terhadap keperluan rakyat walaupun tindakan mereka seumpama lembu punya susu, sapi punya nama.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri mengagihkan lot-lot kediaman RTB tidak lebih daripada sekadar mengulangi atau penerusan daripada langkah Kerajaan PAS negeri sebelum ini.

Ini, jelasnya lantaran sebahagian besar lot RTB yang akan diagihkan itu memang telah sedia diagihkan antara 1999 hingga 2004 kepada rakyat yang berhak ataupun dalam perancangan akhir untuk diagihkan tetapi tidak sempat dilakukan ekoran perubahan kerajaan selepas PRU 11.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: