03 Jun 2010

Makanan Halal Ningxia di Taman Ekspo Dunia 2010 Shanghai

19 Jamadil Akhir 1431 H

Ekspo Dunia 2010 sedang berlangsung di Shanghai. Ekspo ini merupakan temasya yang sungguh meriah disambut oleh rakyat seluruh dunia bukan sahaja mempamerkan tamaduan manusia, malah menyediakan peluang untuk rakyat berkongsi kegembiraan dan menjalinkan hubungan persahabatan. Lebih-lebih lagi, ekspo dunia merupakan ekspo yang memberi kesempatan kepada para pengunjung untuk menikmati makanan istimewa pelbagai negara di seluruh dunia.

Wilayah Autonomi Hui Ningxia merupakan kampung halaman etnik Hui, salah satu etnik yang beragama Islam di China. Kebudayaan makanan "Qingzhen" yang bermaksud makanan halal mempunyai sejarah yang lama di Ningxia. Syarikat-syarikat makanan halal Ningxia telah membawa makanan yang enak kepada para pelawat Ekspo Dunia Shanghai.

Syarikat Buah Wolfberry Bairuiyuan Ningxia, iaitu sebuah syarikat makanan halal dari Ningxia telah membuka sebuah gerai di "Kawasan Makanan Halal" yang terletak di "Jalan Makanan Enak China" dalam Taman Ekspo Dunia Shanghai. Nignxia kaya dengan buah Wolfberry China disebabkan cuaca Ningxia sesuai bagi pertumbuhan pokok wolfberry China.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Ningxia menggalakkan perkembangan industri penanaman pokok wolfberry China bagi membantu para petani tempatan meningkatkan pendapatan mereka. Separuh daripada pendapatan petani tempatan datangnya daripada industri buah wolfberry China. Produk yang dihasilkan daripada buah wolfberry China seperti gula dan teh telah dieksport ke berpuluh-puluh buah negara dan kawasan di seluruh dunia.

Buah wolfberry China biasanya dicampurkan dalam sup daging kambing, mi daging lembu dan hidangan lain bagi menambah rasa manisnya. Selain itu, buah tersebut juga baik untuk kesihatan kerana berfungsi untuk menunrunkan kepanasan dalam badan kita terutama ketika berada pada musim panas.

Wartawan kami membuat liputan di "Kawasan Makanan Halal" dalam taman ekspo, ketika waktu puncak makan tengah hari. Kawasan tersebut dipenuhi dengan para pengunjung. Encik Sun dari provinsi Henan tertarik oleh restoran makanan halal buah wolfberry China Ningxia. Beliau tidak sabar untuk mencuba secawan mi daging lembu yang dicampur dengan wolfberry China. Kata beliau,

"Saya membeli dua cawan masakan, salah satu daripadanya daging lembu campur buah wolfberry China dan satu lagi mi Saozi daging kambing dicampur wolfberry China. Rasanya sedap. Saya suka. Sekarang, orang semakin mementingkan kesihatan melalui makan. Buah wolfberry China ini baik untuk kesihatan."

Makanan mi merupakan makanan yang paling popular dan paling banyak jenisnya dalam makanan halal Ningxia. Pegawai Syarikat Buah Wolfberry Bairuiyuan Ningxia, Fan Yinfang berkata:

"Sejak taman ekspo dibuka secara rasmi kepada orang awam, makanan halal Ningxia terutamanya mi telah mendapat sambutan terhangat para pengunjung. Lebih-lebih lagi, mi Saozi daging kambing, iaitu sejenis makanan mi istimewa Ningxia adalah paling popular. Lebih 100 cawan mi tersebut dijual semalam (12 Mei)."

Pada awal bulan April tahun lalu, pihak penganjur Ekspo Dunia Shanghai telah memulakan pemilihan yang ketat terhadap semua syarikat makanan yang memohon untuk menyediakan makanan semasa ekspo dunia berlangsung. Syarikat yang dipilih perlulah mencapai piawaian dan boleh mewakili keistimewaan masakan pelbagai tempat seluruh China.

Fan Yifang memberitahu wartawan bahawa saingan amat sengit kerana semua syarikat mempunyai kelebihan sendiri dan mereka semuanya berhasrat mempromosikan makanan halal Ningxia kepada para pelawat dari seluruh dunia. Menurut beliau, semua masakan yang disediakan mereka mengandungi buah wolfberry China.

"Buah wolfberry China merupakan hasil istimewa Ningxia. Sekarang ramai orang dalam dan luar negara lebih mengetahui wolfberry China dari Ningxia. Mereka tertarik oleh gerai kami kerana melihat wolfberry China yang begitu merah dan segar. Saya rasa ekspo dunia kali ini telah memberikan peluang yang amat berharga kepada kami untuk memperkenalkan syarikat kami khususnya dan wilayah Ningxia amnya kepada para pengunjung dalam dan luar negara."

Restoran Hotpot Hongchangxing Shanghai telah ditubuhkan pada tahun 1891 dan merupakan restoran hotpot kambing yang pertama di Shanghai. Pemilik restoran tersebut, Hong Sanba menjemput beberapa orang tukang masak masakan halal yang terkenal dari Beijing pada tahun 1918. Mulai saat itu, hotpot daging kambing menjadi masakan utama restoran tersebut. Restoran Hongchangxing mendapat reputasi yang baik kerana daging kambing yang disediakannya bermutu tinggi dan enak.

Piawaian bagi pemilihan daging kambingnya amat ketat. Mereka hanya menggunakan daging kambing Tasik Tai, iaitu kambing yang diternak di Huzhou, Pinghu dan Zhejiang di sekitar Tasik Tai. Selain itu, bahan-bahan ketika menyediakan makanan hotpot kambing juga amat istimewa. Katanya, bahan-bahan yang digunakan oleh restoran tersebut terdiri daripada lebih 10 jenis bahan termasuk sejenis bahan yang dirahsiakan yang diwarisi turun-temurun yang mana rahsia itu hanya diketahui antara beberapa tukang masak yang tertentu sahaja. Pada awal 1920-an dan 1930-an, restoran Hongchangxing sudah menjadi restoran hotpot makanan halal yang masyhur di Shanghai.

Restoran Hongchangxing telah berjaya mendapat kelulusan untuk menyediakan makanan halal dalam Taman Ekspo Dunia Shanghai. Terdapat 64 orang pelajar dari Akademi Vokasional Industri dan Perniagaan Ningxia sedang bertugas di Restoran Qingzhen Hongchangxing dalam taman ekspo. Restoran tersebut terletak berhampiran Pavilion Arab Saudi. Selepas taman ekspo dibuka secara rasmi, hampir sepuluh ribu pelawat menikmati makanan di restoran tersebut pada setiap hari. Jumlah pelawat yang begitu ramai memang merupakan satu ujian hebat kepada semua pelajar Ningxia. Tetapi, mereka terus menjalankan tugas masing-masing dengan penuh bersemangat. Li Delong, salah seorang tukang masak daripada mereka menyatakan:

"Kami bangun kira-kira pukul 6.00 setiap hari dan datang ke sini dengan menaiki bus. Selepas bekerja sepanjang hari kami rasa letih sangat. Bagi tukang masak lebih susah kerana suhu di dalam dapur ini mencapai sekurang-kurangnya 40 darjah. Namun kami merasa bangga dapat berkhidmat untuk ekspo dunia."

Akademi Vokasional Industri dan Perniagaan Ningxia mempunyai reputasi baik dalam sektor makanan halal di China. Kumpulan perkhidmatan makanan halal yang terdiri daripada pelajar lulusan akademi tersebut pernah memberikan perkhidmatan kepada lebih 6,000 orang Islam dalam dan luar negara semasa Sukan Olimpik Beijing yang berlangsung pada tahun 2008. Mereka dianugerahkan "kumpulan perkhidmatan makanan yang terunggul Sukan Olimpik".

Atas undangan restoran Hongchangxing, 64 orang pelajar yang berkelayakan telah dipilih oleh akademi tersebut untuk menerima latihan sebelum berkhidmat untuk ekspo dunia ini.

Pegawai akademi tersebut, Song Guoqing berkata:
"Pelajar kami juga dapat meningkatkan taraf masakan mereka melalui tugas ini. Selain itu, kami juga berharap masakan Ningxia dapat diterima oleh para pengunjung."

Ketua Pengarah Restoran Hotpot Hongchangxing Shanghai, Ma Zongli menyanjung tinggi pelajar-pelajar akademi tersebut. Kata beliau,

"Mereka berjaya membentuk imej orang Ningxia yang rajin bekerja kepada para pengunjung dalam dan luar negara. Kami bersedia menjalinkan hubungan kerjasama jangka panjang dengan akademi tersebut."

CRI/-

Tiada ulasan: