08 Julai 2010

Bala, Raja Petra ada ‘kunci peti rahsia' kabinet Najib?

24 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Penyiasat peribadi, Balasubramaniam kemungkinan mempunyai 'anak kunci peti rahsia' kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ada sesuatu disembunyikan dari kita, seolah-olah Bala ini pegang ‘kunci peti rahsia’ tak kiralah kes Altantuya atau rahsia aktiviti isteri orang nombor satu negara," jelas beliau petang tadi di lobi Parlimen.

Sekiranya tidak, beliau berkata, takkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan niat menghantar tiga pegawai penyiasat (IO) ke London untuk bertemu Bala.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoal keengganan SPRM itu kononnya atas nasihat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patai.

"Tengah malam pun, SPRM sanggup buat rayuan di mahkamah supaya mereka boleh siasat, takkan dalam isu Bala ini, mereka ikut Peguam Negara dengan serah soalan pada peguam Bala saja," jelas beliau.

Beliau turut meminta pihak berwajib menyiasat 40 peratus pendedahan pemilik sesawang Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) seperti yang diakui oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kenapa tak siasat kebenaran dalam tulisan RPK ini sedangkan Mukhriz sendiri mengaku bahawa 40 peratus adalah benar," beliau menambah.

Disebabkan itu, beliau sekali lagi menyuarakan rasa hairan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis memburu 'Raja Blogger' terbabit semata-mata.

"Pergi siasat dulu siapa bunuh Altantuyaa, siapa jual kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei, siapa bunuh Teoh Beng Hock kerana RPK dedah itu semua," tegas beliau.

Melihat tindakan kerajaan dalam menghadapi pendedahan RPK itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa 'Raja Blogger' itu mungkin mempunyai 'kunci pendua' peti rahsia yang melibatkan salah laku pemimpin tertinggi tertentu dalam kerajaan.

"Kalau tidak ada kunci peti rahsia seperti Bala pun, dia mungkin pernah lihat (peti rahsia) atau mungkin ada kunci pendua yang sangat ditakuti oleh kabinet Perdana Menteri kita," jelasnya lagi.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya turut menyiasat beberapa pendedahan Bala dan RPK berhubung pemimpin tertentu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: