23 Julai 2010

Nasha: Jangan terikut-ikut rentak media perdana

10 Syaaban 1431 H

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta pemimpin dan ahli parti itu supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana berhubung isu perpaduan PAS-Umno.

"Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media media arus Perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.

"Malah, pihak media telah mendapat beberapa pandangan daripada pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan di muka depannya laporan yang memetik ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sebagai berkata Umno dan PAS perlu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.

Ketua pemuda PAS itu dipetik menulis demikian blognya di bawah tajuk 'Pelan Damai Untuk Umno dan PAS'.

Mengulas lanjut, Nasharuddin berkata: "Kita percaya media-media ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.

Nasharuddin berkata, PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamat-muktamar yang lalu.

"PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani pilihan raya umum k-13 untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

"Saya juga menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi, terutama di peringkat cawangan dan kawasan serta menambah keahlian baru PAS semaksima mungkin," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: