23 Julai 2010

PAS ulangi pendirian tak kerjasama dengan Umno

10 Syaaban 1431 H

PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak berhasrat bekerjasama dengan Umno yang didakwanya menjadi sekutu Yahudi- Zionis.

Sehubungan itu, naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu supaya tidak terperangkap dengan agenda politik murahan Umno yang memukul gendang perpaduan.

“Inilah agenda Umno pada setiap kali sesak nafas mereka akan meminta 'oksigen' dari PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli parlimen Pokok Sena itu juga mengulangi pendirian PAS yang tidak akan bekerjasama dengan Umno yang didakwa menjadi sekutu zionis Yahudi.

“Umno secara jelas melalui pemimpin utamanya yang menguasai kerajaan telah melantik syarikat perunding Apco Worldwide yang merupakan proksi kepada gerakan zionis antarabangsa yang menjaga kepentingan politik Israel dan Amerika sebagai penasihat kerajaan Umno-BN.

“Perbuatan ini satu pengkhianatan kepada perjuangan umat Islam dan rakyat Palestin,” katanya.

Mahfuz juga mengucapkan terima kasih kepada mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang bijak membuat bacaan politik bahawa kuasa politik Melayu Umno akan hilang.

Katanya, kenyataan mufti itu menambahkan lagi keyakinan bahawa PAS mengambil tempat Umno dan memberi harapan baru kepada umat Islam dan bangsa Melayu.

“PAS menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu untuk bersama menyertai PAS bagi memikul tugas baru untuk meletakkan kembali Melayu dan Bumiputera pada landasan yang betul dan membangunkan Malaysia bersama semua kaum sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, PAS akan terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat bagi membina Malaysia baru dan terus melindungi Islam.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

MIBU BULAN. berkata...

Salam YB.....
Saya menyokong 100% supaya bangsa Melayu yang beragama Islam meninggalkan UMNO dan menyertai PAS.... Sama samalah kita mendokong perjuangan Islam yang sumul.... Bagi Tan Sri Mufti saya memberi pandangan dengan ikhlas.... Jauhilah mencampuri urusan Politik.... semuga Tan Sri lebih dihormati dan disegani......