19 Ogos 2010

Wang syariah: Husam dakwa Awang Adek jahil

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Exco kanan, kerajaan negeri Datuk Husam Musa berkata kerajaan Kelantan telahpun mengambil kira risiko sebelum memperkenalkan dinar emas dan dirham perak ke pasaran negeri itu.

Beliau mengakui bahawa risiko paling besar yang dihadapi adalah dari sudut politik ke atas pentadbiran negeri itu yang dikuasai PAS.

"Kalau pengguna akan ditipu, sudah tentu politik PAS akan terjejas," kata Husam ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin yang dipetik Utusan Malaysia hari ini bahawa peniaga berisiko ditipu oleh "penyangak matawang" apabila menggunakan wang syiling itu untuk urusan jual beli mereka.

Dalam laporan tersebut, Awang Adek juga dipetik sebagai berkata, peniaga juga akan berhadapan masalah kerana syiling emas dan perak yang dilancarkan pada 12 Ogos lalu itu tidak diperakui di peringkat nasional.

Masalah itu mungkin akan menyebabkan nilainya jatuh mendadak sehingga 20 peratus, kata Awang Adek lagi dalam laporan sama.

Mengulas lanjut, Husam berkata kenyataan itu juga menunjukkan kejahilan Awang Adek berhubung kestabilan harga emas dan perak.

Mengulas kenyataan itu, Husam berkata kenyataan itu juga merupakan satu usaha untuk "menghina intelek orang ramai" kerana kestabilan harga logam itu sendiri boleh dilihat melalui fakta ekonomi dan dari sudut sejarah.

Husam menjelaskan, walaupun harga emas dan perak susut secara mendadak pada sesuatu masa, ia tetap akan menokok semula.

"Pada masa harga emas jatuh, peniaga itu boleh simpan dinar mereka dan gunakan wang ringgit.

"Alasannya, dinar ini bukanlah untuk mengganti ringgit seratus peratus tetapi sebagai pelengkap kepada wang ringgit," katanya lagi.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

biasa le.. orang dah kaya bukan nak tengok sengat benda 2. kami menyokong penuh usaha memartabatkan islam....

Tanpa Nama berkata...

Tak kisahlah peringkat nasional nak iktiraf ke tak, janji emas dan perak itu ada nilaiannya yang tersendiri. Cuma nak minta Kerajaan Kelantan berhati-hati, perut busuk musuh tu boleh sabotaj dinar dan dirham dengan menggunakan syiling palsu yang rendah nilai emas/peraknya. Semoga dilindungi Allah hendaknya di atas program ini.

*Tak yah dengar cakap Awang Adek tu, dia jahil hingga sanggup nak menghalalkan judi bola.