05 September 2010

Anak exco meninggal setelah koma

25 Ramadhan 1431H.

Ketika suasana kegembiraan menyambut menjelangnya hari lebaran, nasib berbeza dialami exco kerajaan negeri Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib apabila kehilangan seorang daripada dua anak lelakinya yang koma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Batu 34, Jalan Jeniang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, malam semalam.

Anak keduanya itu, Mohd Syazmin, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sik menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 10.30 malam setelah koma selama lebih 24 jam selepas kemalangan, petang Khamis.

Mohd Syazmin bersama abangnya, Mohd Syazwan, 18, tidak sedarkan diri selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu anak sulung exco itu terbabas dipercayai cuba mengelak daripada bertembung sebuah lori dari arah yang bertentangan.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan manakala dua rakan yang bersama mereka ketika itu sekadar mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan pesakit luar di HSAH.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ria Indah, Sungai Petani dari asrama SMKA Sik setelah dijemput oleh Mohd Syazwan kerana hari akhir persekolahan sempena cuti hari raya Aidilfitri.

"Saya reda dengan pemergian Syazmin," kata Dr Hamdan, ADUN Tanjung Dawai yang juga pengerusi jawatankuasa tetap belia dan sukan negeri, dengan sebak sebaik mengetahui anak lelakinya itu menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, Mohd Syazwan yang masih tidak sedarkan diri di wad sama, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Jenazah Mohd Syazmin dibawa pulang ke rumahnya pada kira-kira 12.45 malam semalam dan selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi ini di tanah perkuburan Islam Masjid Lama, Merbok.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

INNALILLAHIWAINNAILAIHIROJIUN... TAKZIAH KPD YB HAMDAN DAN SEMOGA ROH ANAKNYA DICUCURI RAHMAT OLEH ALLAH... AMIN

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PARIT berkata...

al fatihah,moga bersama orang2 yg beriman dan mujahid2 muda..amin...

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib berkata...

mudah-mudahan ALlah kuatkan semangat DR. Hamdan untuk terus berjuang untuk keadilan di Malaysia...

Tanpa Nama berkata...

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali...

Tanpa Nama berkata...

Salam Takziah dari kami, semoga Dr sabar & redha dgn dugaan Allah. Tiada sesuatu yg kekal kecuali Allah s.w.t jua.