09 September 2010

Dinar Emas buat Umno jadi kalut Nilai

29 Ramadhan 1431 H
Oleh: M Faqih

RAMAI orang jadi gila kerana emas. Isteri mengamuk apabila si suami tidak menghiraukan membeli barang kemas menjelang Aidilftiri. Bagi sang kekasih mesti menyediakan gelang atau cincin emas untuk merebut hati bakal isteri.

Emas juga membuatkan segelintir manusia bertindak ganas. Lihat laporan media, saban kali ada berita kedai emas dirompak.

Ada yang memecah masuk kedai menyimpan emas di kedai pajak gadai kerana mahu cepat kaya. Ada juga perompak ditembak mati angkara emas.

Sekarang menjelang raya, kedai-kedai emas dipenuhi orang ramai. Ramai perempuan mahu bergaya sambut raya dengan bergelang emas.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa menggadai nyawa kerana emas. Mereka bekerja di lombong emas sebagai punca pendapatan keluarga. Tengok apa yang berlaku di Chile, baru-baru ini.

Seramai 33 pelombong terperangkap di bawah tanah, lapor akhbar antarabangsa 31 Ogos lalu. Rupa-rupanya mereka sudah terperangkap selama 25 hari dalam lombong emas yang terletak 800 km di utara Santiago.

Akhbar melaporkan kerja-kerja menyelamatkan mengambil masa tiga hingga empat hari bagi membolehkan pekerja dibawa naik ke atas seorang demi seorang.

Kedalaman lombong emas itu 702 meter. Keadaan udara lembap di lombong emas dan tembaga di San Jose menyebabkan ada pelombong dijangkiti kulat dan mengalami bengkak-bengkak pada badan.

Berdasar kepada risiko tersebut maka tidak hairanlah mengapa harga emas mahal di pasaran dunia. Risiko merupakan antara ciri istimewa yang ada pada emas.

Selain itu mudah dibahagi tanpa menjejaskan mutunya, mudah ditunaikan dan tidak boleh dibinasakan.

Berasaskan kepada kelebihan tersebut maka tidak hairanlah emas menjadi kegilaan ramai sejak dahulu sehingga sekarang.

Harga ayam kekal 1 Dirham

Di awal awal kebangkitan Islam sistem jual beli semuanya berasaskan kepada Dinar dan Dirham. Ia diperluaskan pada zaman Khulafa Al Rasyidin dan kemudian tersebar ke Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara.

Di kepulauan Melayu era kesultanan Melayu Melaka Dinar dan Dirham yang berteraskan emas dan perak digunakan sebagai mata wang.

Sejak dari awal tamadun Islam di zaman Nabi Muhammad saw sehingga ke hari ini seekor ayam tetap kekal pada harga 1 Dirham di kebanyakan tempat di seluruh dunia.

Dalam al-Quran diberitakan kisah Ashabul Kahfi menggunakan wang perak untuk membeli makanan selepas tersedar dari tidur. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik.

Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorang pun.”

Ayat di atas mengkisahkan pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun dalam sebuah gua. Kemudian telah menghantar salah seorang rakan mereka untuk membeli makanan dengan membawa wang perak.

Ini bermakna dalam tempoh 309 tahun, wang perak yang digunakan masih stabil dan mampu digunakan bagi membeli makanan.

Malangnya penggunaan wang Dinar dan Dirham gagal selepas kemerosotan empayar Islam pada abad ke-13 Masehi. Kedatangan penjajah yang berselindung di sebalik misi God, Glory and Gold menyebabkan umat Islam kehilangan tamadun yang gemilang.

Nilai emas syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya RM1,082 pada 18 Julai 2001, tetapi pada 1 Julai 2010 ia meningkat kepada RM4,104.

Pada kurun ke-19 negara-negara di Eropah menggunakan sistem kewangan yang dikenali sebagai ’gold standard’ di mana emas dijadikan sandaran kepada rezab mata wang.

Namun sistem tersebut dirombak selepas tercetus perang Dunia Pertama. Selepas perang Dunia Kedua sistem kewangan Bretton Woods pula diperkenalkan.

Ketika itu mata wang Dollar Amerika (USD) mulai menjadi mata wang utama dunia telah ditambat kepada emas pada kadar USD35 setiap auns.

Malangnya sistem tersebut hanya dapat bertahan sehingga 1971, di mana masyarakat antarabangsa menggunakan pula sistem mata wang berasaskan nilai sah yang diterima umum. Dan ia tidak lagi bersandarkan kepada emas.

Switzerland merupakan negara terakhir yang bertukar kepada sistem wang fiat pada 2000.
Bina tamadun Islam

Setelah umat Islam kehilangan tamadun dalam tempoh begitu lama, kerajaan Kelantan berusaha untuk membina semula tamadun yang hilang.

Selepas bertahun-tahun menghebabkan kelebihan yang ada pada Dinar dan Dirham, akhirnya kerajaan PAS memperkenalkan Dinar Kelantan pada 2006.

Ketika itu koin Dinar syiling seberat 4.25 gm dengan ukuran 23 mm bernilai RM332.25 dilancarkan. Selain itu separuh Dinar dengan ukuran 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76turut diperkenalkan.

Manakala suku Dinar pula seberat 0.5 gm berukuran 21 mm mempunyai nilai sebanyak RM99.38. Dan hari ini selepas empat tahun kemudian nilai bagi satu Dinar melonjak kepada lebih RM500.

Dan pada 2 Ramadan lalu sekali lagi Kelantan mencatat satu sejarah apabila mata wang syariah Dinar dan Dirham Kelantan diperkenalkan.

Kali ini penggunaan Dinar diperluaskan lagi fungsinya kepada pembayaran gaji, bayar zakat, mas kahwin dan urusniaga.

Kalau pada 2006 Dinar Kelantan hanya digunakan bagi mas kahwin dan simpan nilai tetapi hari ini fungsinya sudah berkembang.

Malah ada individu yang tampil menggunakan mata wang syariah untuk membeli barangan.

Kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan di Kelantan menyebabkan Umno menjadi seperti cacing kepanasan.

Maka melalui ’tukang juara’ mereka mencanangkan Dinar memberi kesan negatif, Dinar sekadar gimik politik dan macam-macam tohmahan.

Tukang ’karut’ bagi pihak Umno yang tidak kering gusi untuk memperlekehkan usaha kerajaan PAS Kelantan ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Sedangkan beliau lupa pada 29 Julai 2003 Awang pernah mengeluarkan kenyataan The Royal Mint of Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan syiling 1 dan 1/4 Dinar untuk pembayaran gaji kakitangan syarikat tersebut.

Ketika itu Awang adalah pengerusi Royal Mint. Anehnya hari ini beliau seolah-olah menyembur ludahnya ke langit sehingga terpercik ke muka sendiri.

Sepatutnya dalam soal ini Awang yang juga bekas Penolong Bank Negara lebih berhati-hati mengelak daripada mempersendakan dirinya sendiri.

Maka tidak hairanlah seperti kata bekas pensyarah kanan USIM, Dr Zulkifli Muhamad Al Bakri, pemimpin yang sering klu klik merupakan pemikiran yang bahaya. Menurutnya pemikiran itu dianggap sudah mati akal.

Hari ini selepas orang ramai tidak menghiraukan momokan buruk Umno terhadap Dinar dan Dirham, Awang dan Umno Kelantan seperti kelu. Awang tambah malu selepas rakyat di Bachok menolaknya pada 8 Mac 2008 di kerusi parlimen Bachok dan Dun Perupok.

Awang sekarang menanggung malu berganda-ganda. Beliau juga pernah menobatkan dirinya sebagai calon MB Kelantan. Rakyat Kelantan kini tambah kenal siapa timbalan menteri yang bernama Awang Adek.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: