03 September 2010

Jalan Bota Perlu Dinaik Taraf Untuk Keselamatan & Kesejahteraan Penduduk Tronoh

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: YB V.Sivakumar

Jalan Bota merupakan jalan utama Ipoh-Bota pada satu masa dahulu. Jalan itu wujud sejak mulanya pekan Tronoh iaitu sebelum terdapatnya aktiviti perlombongan yang giat di kawasan tersebut.

Pada penghujung tahun 60an jalan baru telah dibina dari Pusing ke Bota. Jalan itu kemudian menjadi jalan utama dari Jelapang ke Lumut. Oleh itu, Jalan Bota tidak lagi menjadi jalan utama Jelapang – Lumut pada masa ini.

Walau bagaimanapun, Jalan Bota merupakan jalan penting di dalam Pekan Tronoh sehingga ke hari ini.

Jalan ini menghubungi Pekan Tronoh dengan Lebuhraya Ipoh-Lumut. Penduduk Tronoh menggunakan jalan ini untuk memasuki Lebuhraya Ipoh – Lumut.

Bilangan kenderaan yang menggunakan jalan ini juga kian meningkat. Tambahan pula terletak 3 buah sekolah di sepanjang jalan tersebut.

Sekolah-sekolah itu ialah SK Tronoh, SJK(C) Chung San dan SJK (T) Tronoh. Selain daripada itu, terdapat sebuah tokong Sikh dan Kuil Hindu disamping Jalan tersebut. Jalan ini juga merupakan pintas ke 2 buah taman perumahan di Tronoh.

Memandangkan penggunaan yang meluas, Jalan Bota ini perlu dilebarkan lagi. Didapati jalan tersebut agak sempit terutamanya pada waktu sebelum sekolah bermula dan selepas sekolah tamat.

Ibubapa dan bas sekolah menggunakan jalan ini untuk mengambil dan menurunkan murid-murid di sekolah-sekolah tersebut. Ramai juga murid-murid sekolah berbasikal di Jalan Bota ini. Pada masa yang sama penduduk-penduduk dari Taman Bali Emas, Tronoh Mines dan Taman Tasek Putra menggunakan jalan ini untuk memasuki pasar awam dan Pekan Tronoh. Pelajar-pelajar Universiti Petronas juga menggunakan Jalan Bota untuk pergi ke gerai-gerai makanan di Pekan Tronoh.

Keadaan ini menimbulkan bahaya keselamatan jalanraya terutamanya kepada kanak-kanak sekolah yang menggunakan jalan ini pada tiap-tiap hari. Banyak kemalangan juga pernah berlaku di jalan tersebut.

Ramai juga dikalangan ibubapa pernah mengadu kepada saya mengenai soal keselamatan anak-anak mereka yang menggunakan jalan ini untuk pergi ke sekolah. Oleh yang demikian tindakan perlu diambil oleh pihak JKR untuk mengatasi masalah ini.

Dalam Persidangan Dewan Negeri yang lepas iaitu pada 3 Ogos, satu soalan bertulis telah dikemukakan oleh pihak saya mengenai Jalan Bota ini. Soalan tersebut meminta JKR Perak samada mempunyai niat untuk melebarkan Jalan Bota dihadapan SK Tronoh, SJK(C) Chung San dan SJK(T) Tronoh.

Pihak JKR telah menjawab bahawa pihaknya mempunyai cadangan untuk melebarkan Jalan Bota tersebut dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada bulan September 2010.

Saya sungguh mengharapkan pihak JKR akan memulakan kerja-kerja naik taraf Jalan Bota ini secepat yang mungkin demi keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna-pengguna jalan tersebut.

Tiada ulasan: