03 September 2010

Pembangkang sepakat teruskan hubungan baik Malaysia-Indonesia

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Pihak pembangkang Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meneruskan dan memperbaiki hubungan baik antara kedua-dua negara, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara beberapa Ahli Parlimen PAS dan wakil Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di bangunan Parlimen, hari ini.

"Kita mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkembangan terkini yang sedang berlaku yang berkaitan hubungan antara kedua negara tanpa menafikan segala usaha baik yang telah dilakukan oleh kedua-dua pemerintah Indonesia dan Malaysia.

"Pertemuan ini adalah sebagai satu lagi usaha yang dimainkan oleh ahli Parlimen untuk memastikan hubungan baik berkekalan dan beberapa isu telah kita bangkitkan tadi dan kita masuk kepada tahap memperbaiki dan menjernihkan hubungan baik melalui usaha ahli parlimen pembangkang," kata Nasharudin kepada pemberita selepas pertemuan hampir sejam itu.

PAS menerima kunjung hormat daripada wakil pembangkang Indonesia itu bagi membincangkan isu utama berhubung hak asasi manusia melibatkan pendatang dari Indonesia.

Kedua-dua negara bersetuju bahawa mereka yang melakukan kesalahan perlu dihukum tanpa melanggar batas-batas hak asasi manusia.

"Kita telah bersetuju dalam hal-hal yang berkaitan dengan perlanggaran undang-undang di mana sahaja samaada di Malaysia atau di Indonesia, kita mahukan undang-undang dilaksanakan cuma kita akan pastikan perjalanan undang-undang itu menjaga hak asasi bagi memastikan keadilan dilaksanakan dalam proses perundangan tersebut," kata Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sementara itu, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Reike Diah Pitalokal yang mengetuai rombongan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mewujudkan satu di Parlimen mereka bagi menangani kes-kes melibatkan rakyat mereka yang bekerja di Malaysia.

"Kami sedang berupaya untuk membangun semacam polisi di Parlimen bagi persoalan buruh migran mudah-mudahan juga hal yang sama bisa dilakukan oleh Parlimen di Malaysia dan kita bisa berkomunikasi," katanya.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar pula mencadangkan agar satu kaukus Parlimen diwujudkan berhubung hubungan Malaysia-Indonesia seperti mana wujudnya kakus hubungan Malaysia-Myanmar dan lain-lain lagi.

"Bagi pihak ahli Parimen PAS, kita mencadangkan untuk mewujudkan kaukus hubungan Malaysia Indonesia di kalangan ahli parlimen sebagaimana sudah ada kaukus berkenaan Myanmar dan sebagainya.

"Ini untuk memastikan kita dapat memberikan tumpuan yang khusus kepada isu yang besar dan penting untuk kemajuan kedua-dua negara dan kemajuan rakyat," katanya.

Diminta mengulas mengenai demonstrasi yang dilakukan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta, Reike berkata, pihaknya tidak mahu membesarkan isu berkenaan sehingga menenggelamkan isu utama yang perlu diberi perhatian khusus.

Manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS pula berkata, sepanas manapun situasi yang cuba diwujudkan di Indonesia, PAS tidak pernah bercadang untuk membuat tindakan balas sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan perkara yang berlaku melalui diplomasi.

"Saya rasa hubungan diplomatik yang baik dan kebijakan kita untuk menangani isu ini lebih penting kerana kami di Malaysia khususnya dari PAS apa pun yang berlaku di Jakarta, kami daripada PAS tidak pernah menggerakkan pemuda untuk berdemonstrasi di kedutaan Indonesia di sini.

"Kita harus melihat itu dari segi kacamata yang lebih besar, kita punya masa depan yang lebih baik. Apa yang berlaku harus dicermati dan kebijakan politik penting dalam menangani isu sebegini," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: