02 September 2010

Politik pelampau, negara hancur

22 Ramadhan 1431 H
Oleh: Idris Ahmad

PAS bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sempena kemerdekaan negara ke-53, menyatakan bahawa masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama.

Kenyataan ini perlu ditujukan kepada pemimpin Umno dan BN yang sering mengeluarkan kenyataan yang memanaskan suasana politik seperti panasnya cuaca di negara pada hari ini.

Sebenarnya suasana politik negara ini menjadi panas selepas keputusan PRU 12, apabila BN tidak mendapat sokongan 2/3 di Parlimen dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Beberapa siri demo dan provokasi seperti demo di Pulau Pinang pada 14 Mac 2008 kononnya Lim Guan Eng hendak hapus Dasar Ekonomi baru, Demo di Perak 16 Mac 2008 kononnya kerajaan Pakatan Rakyat menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu, sehinggalah yang terakhir ucapan yang diucap oleh seorang Pengetua Sekolah di Kulaijaya Johor dan Guru Sekolah di Bukit Selambau Kedah.

Sebenarnya berlaku ini adalah kerana Umno BN tidak boleh belajar menjadi orang kalah. Ditambah pula kenyataan dan tindakan Perkasa yang memanaskan suasana politik di negara ini.

Tindakan yang melampau dalam agama seperti pembakaran gereja ketika isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Peristiwa kepala babi dilemparkan di dalam Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun Petaling Jaya Selatan.

Mutakhir ini isu doa untuk memberi hidayah kepada Lim Guan Eng telah digambarkan, kononnya Lim Guan Eng mengganti Yang di-Pertuan Agong, semuanya ini bertujuan untuk menanamkan prajudis dikalangan rakyat di negara ini.

Sekali lagi Umno bersikap memperalatkan agama untuk kepentingan politik dalam isu lawatan Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang ke Surau al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos 2010. Membuat fitnah bahawa Teo Nie memberi ‘tazkirah’ dan memberi bantuan kepada ahli PAS. Sedangkan apa yang berlaku ialah beliau memberi derma RM1,000 kepada surau dan memberi taklimat berkenaan skim pendidikan kerajaan Selangor.

Kenapa Umno tidak pernah marah selama ini, kerana ada di kalangan wakil rakyat bukan Islam dari kalangan BN yang datang ke surau/masjid.

PAS menganggap bahawa negara menyambut kemerdekaan negara kali ke-53 dalam suasana yang agak suram dengan sentimen perkauman dan tindakan melampau dalam agama yang dilakukan oleh pimpinan Umno.

Sepatutnya negara yang sudah mencapai umur kematangan setelah negara merdeka. Tetapi apa yang berlaku ialah keadaan seolah-olah negara baru sahaja mencapai lima tahun merdeka. Ini adalah gambaran bahawa BN gagal memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat di negara ini.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada generasi selepas merdeka. PAS sebagai sebuah parti yang berpegang dengan prinsip Islam, akan sentiasa bergerak di atas landasan agama.

Walaupun kadang-kadang Umno melihat PAS pelik, kerana tidak menyokong tindakan Umno seperti isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan isu orang bukan Islam masuk masjid atau surau.

Perlu diingat pemimpin PAS ada kemampuan untuk merujuk satu hukum berdasarkan ilmu yang Allah kurniakan. PAS tidak mahu tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: