02 November 2010

Batu Sapi serlahkan kepentingan ICT

24 Zulkaedah 1431 H

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi menampilkan perkembangan terkini dalam kegiatan kempen pilihan raya iaitu penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Kesemua tiga calon yang bertanding -- Datin Linda Tsen Thau Lin dari BN, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan ketua PKR Tuaran Ansari Abdullah -- serta barisan kepimpinan dan penyokong parti berkenaan kelihatan meningkatkan penggunaan ICT dalam usaha meraih sokongan daripada 25,582 pengundi di kawasan itu pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Mereka menggunakan Facebook, laman blog, Twitter dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan pengundi di kawasan Batu Sapi.

Penggunaan ICT untuk meraih sokongan dan berkomunikasi dengan rakyat kini menjadi tumpuan ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang berikutan kemunculan apa yang dikenali sebagai media sosial dalam talian atau media baru pada pilihan raya umum 2008.

Di Batu Sapi, kawasan di pinggir bandar Sandakan, yang pernah menjadi ibu negeri Sabah, beribu-ribu pengundi begitu gembira apabila menerima SMS atau membaca komen dalam Facebook yang ditulis oleh ahli politik yang berkampung di sini untuk menyumbang khidmat masing-masing dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Sebagai contoh, seorang ahli politik BN menulis begini dalam laman Facebooknya: "Kepada rakan kami iaitu pengundi di Batu Sapi ... (Saya) harap anda mengundi Tsen Thau Lin BN, Calon No. 3 pada Kertas Undi. Berilah peluang kepada Puan kita ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan Malaysia".

Tsen adalah balu kepada Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket Wah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktpber, yang menyebabkan pilihan raya kecil ini diadakan. Chong memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2008 dengan mendapat 9,479 undi dalam perlawanan satu lawan satu dengan calon Bebas Dr Chung Kong Wing, yang mendapat 5,771 undi.

Kawasan Parlimen Batu Sapi, yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting dan kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong, mempunyai 25,582 pengundi, 15,099 atau 59.02 peratus daripada mereka adalah bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus Cina dan 57 atau 0.22 peratus kaum lain.

Ahli politik daripada SAPP dan PKR juga menggunakan media baru itu untuk menyampaikan mesej mereka kepada pengundi. Kedua-dua pihak menyediakan laman sesawang masing-masing untuk membolehkan penyokong kuat mereka di Batu Sapi dan pembaca lain mengikuti perkara yang ingin disampaikan oleh pemimpin parti.

"Ini menunjukkan Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara atau kebebasan akhbar, sejajar dengan prinsip demokrasi. Setiap orang berpeluang menyampaikan perkara yang terdapat dalam mindanya untuk rakyat Sabah, terutama untuk pengundi di Batu Sapi," kata seorang pemerhati politik.

Pemerhati itu berkata bercanggah dengan anggapan sesetengah ahli politik bahawa kebebasan akhbar tidak wujud di negara ini, pihak yang bertanding - BN, SAPP dan PKR -- mempunyai peluang sama rata untuk menggunakan media, khususnya media alternatif, untuk menguar-uarkan agenda politik masing-masing.

"Pada pilihan raya kecil ini, saya dapati parti politik menyebarkan maklumat kepada penyokong masing-masing melalui telefon bimbit, e-mel dan laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter untuk memikat hati pengundi, terutama golongan muda yang menggunakan perkhidmatan itu.

"Malah, laman rangkaian sosial seperti Facebook, menjadi kegilaan golongan belia yang berpendidikan serta orang dewasa berusia antara 21 dan 49 tahun di kawasan bandar seperti Karamunting.

"Saya rasa, jumlah mereka mungkin melebihi 35 peratus daripada keseluruhan pengundi di Batu Sapi. Anda dapat melihat betapa pentingnya media baru ini. Paling ketara ialah setiap orang berpeluang mendapat capaian kepada perkhidmatan ini, tanpa mengira kecenderungan politik," kata pemerhati berkenaan.

Ahli politik, terutama dari semenanjung, juga memuji dan mengagumi kebebasan akhbar yang begitu tinggi tahap amalannya dalam kalangan media cetak di Sabah.

Seorang daripada mereka berkata beliau mendapati akhbar di Sabah, seperti Daily Express, New Sabah Times, Borneo Post, Utusan Borneo dan akhbar Cina tempatan, memberi liputan secara adil kepada ketiga-tiga calon yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan serta para pemimpin parti politik terbabit, termasuk menyiarkan gambar dan kenyataan mereka saban hari dan kadang-kadang turut menyiarkannya di muka depan masing-masing.

"Kebebasan akhbar begitu subur di Sabah. Malah, Pembangkang pun tidak bersungut. Tidak hairanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menyifatkan Sabah sebagai model peranan bagi 1Malaysia. Sebenarnya, terserahlah kepada kebijaksanaan orang ramai untuk memilih MP yang mereka mahu," kata ahli politik berkenaan sambil menambah bahawa portal berita popular seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider juga menyediakan ruang untuk ahli politik berkempen.

Selepas enam hari kegiatan berkempen berlangsung di Batu Sapi, BN kelihatan memiliki kelebihan untuk mengekalkan kerusi itu, walaupun menghadapi tentangan hebat daripada SAPP untuk mendapatkan undi kaum Cina dan daripada PKR untuk meraih undi daripada bumiputera Islam.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: