02 November 2010

Kewarganegaraan jadi modal kempen Umno BN

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Rusli Yasmin

SANDAKAN, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Sabah kesal dengan tindakan menjadikan taraf kewarganegaraan dan sijil kelahiran sebagai gula-gula kempen politik Umno dan Barisan Nasional.

Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan dan Penyerahan Sijil Kelahiran Kepada Penduduk tersebut bakal diadakan pada 3 November jam 8.00 pagi di Kawasan Flat MPS Karamunting, Sandakan oleh Datuk Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Program tersebut disenaraikan di dalam kalendar aktiviti web rasmi penerangan kerajaan http://media.penerangan.gov.my/prkbatusapi.

"Pemberian taraf kewarganegaraan merupakan hak dan kedaulatan negeri ini dan tidak boleh dijadikan bahan kempen politik semata-mata terutamanya untuk meraih undi.

"Persoalannya mengapa pemberian tersebut baru sekarang diadakan ketika kempen pilihan raya, sedangkan banyak lagi waktu yang sesuai untuk mengurniakan taraf warganegara kepada masyarakat Batu Sapi yang terlibat," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Salman.

Salman memberitahu, BN sebenarnya telah menyalahgunakan hak dan kedaulatan negara ini sesuka hati mereka.

Menurut beliau, BN yang menerajui kerajaan pada hari ini sepatutnya mengambil langkah menyelesaikan isu kad pengenalan yang menghimpit sebahagian masyarakat di Sabah ini sejak dulu lagi.

"Banyak lagi kes-kes kad pengenalan yang belum selesai akibat kegagalan BN sebelum ini mengurus dan mentadbir dengan baik isu kerakyatan ini.

"Penyalahgunaan kuasa ini telah mengakibatkan wujudnya sentimen berunsur negatif di kalangan masyarakat tempatan sedangkan isu ini berpunca daripada mereka (BN) sendiri,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, isu kad pengenalan tidak akan selesai selagi kerajaan BN terus menjadikan kedaulatan negara dan rakyat negeri ini mangsa bagi mencapai cita-cita dan politik sempit mereka.

Beliau menyeru agar masyarakat di Batu Sapi bijak memilih pemimpin mereka yang amanah dan bertanggungjawab dan tidak terpengaruh dengan janji manis Barisan Nasional.

"Apa juga bentuk barang yang cuba diberikan kepada masyarakat Batu Sapi oleh BN tidak perlu di tolak tetapi undi mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat," tambahnya.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

refah00 berkata...

UMNO-Matlamat menghalalkan cara