20 Oktober 2010

Calon diumum hari ini

11 Zulkaedah 1431 H

JOHOR BAHRU – Pas Pusat telah bermesyuarat dan akan mengumumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 19 Oktober (hari ini).

Timbalan Presiden Pas Pusat, Nasharudin Mat Isa berkata, Pas sudah bermesyuarat dan menentukan calon PRK DUN Galas.

”Kita sudah mempunyai calon, Insya-Allah kami akan umumkannya pada 19 Oktober ini,” katanya ketika merasmikan pelancaran dana pilihan raya Pas Johor di Sangkar Kristal, di sini, kelmarin.

Keadaan dewan riuh seketika apabila Ahli Parlimen Bachok itu berseloroh menyatakan Pas akan meletakkan orang asli sebagai calon parti itu.

“Memang sah kita akan meletakkan calon dalam kalangan orang asli, bukan orang batu ataupun orang besi,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, calon tersebut dipersetujui sebulat suara jawatankuasa Dewan Harian Pas yang bermesyuarat pada 13 Oktober.

“Esok (hari ini) kita akan sampaikan nama kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang akan tentukan tarikh untuk isytihar calon... tidak muktamad bila Tok Guru (Nik Aziz) akan isytihar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Mustafa berkata, pihaknya telah memilih calon yang diterima rakyat, kelahiran Gua Musang, pimpinan kawasan, selain tidak pernah menjadi wakil rakyat.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai ciri calon yang dipilih itu hanya tersenyum ketika ditanya sama ada calon tersebut merokok atau tidak.

Sebelum ini, Pas Kelantan menyenarai pendek enam calon kepada Pas Pusat untuk dipilih bagi ditempatkan di DUN Galas.

Mustafa berkata, pihaknya yakin Pas Kelantan bersetuju dengan pilihan tersebut tetapi tidak menolak mempertimbangkan kembali keputusan sekiranya terdapat perbezaan pendapat dengan pimpinan di negeri itu.

SinarHarian/-

Tiada ulasan: