24 November 2010

Perlembagaan: Ingatan Najib macam tikus baiki labu

17 Zulhijjah 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti 'tikus membaiki labu'.

Sehubungan itu, PAS kesal isu gangguan Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sering dibangkitkan di negara ini.

“PAS berpandangan bahawa isu ini dibangkitkan ialah untuk menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu supaya jangan berjinak dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, sejak mutakhir isu Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dibangkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah Umno, setelah isu pembangunan sudah lapuk, kerana dunia semakin maju.

Menurutnya, satu ketika dahulu kononnya ada Perlembagaaan baru dibangkitkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani sampai sekarang tidak dapat dibuktikan lagi.

“PAS mencabar mana-mana pihak yang ada bukti jika ada mana pihak yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah dibawa ke pengadilan,” ujarnya.

Tambahnya, isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihan raya Kecil Bukit Gantang, kononnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak.

Katanya, mereka eksploit perkataan yang diucapkan oleh Datuk Seri Nizar “Patik Mohon Sembah Derhaka”, pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu padangan.

“Hakikatnya yang berlaku seperti yang tercatat dalam sejarah politik negara kita, yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno malahan cuba hendak ambil alih kuasa isytihar darurat daripada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak boleh lupa ketika mereka membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan.

Begitu juga, ujarnya penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang.

“Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina Sultan Terengganu kerana tidak melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Banyak lagi kita boleh bongkarkan siapa yang sebenarnya menghina Raja-Raja Melayu,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: