11 November 2010

Tidak patriotik: Zahid singgung bukan Melayu

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa memohon maaf dan menarik balik dakwaannya bahawa bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat pada sidang media di parlimen hari ini berpendapat, kenyataan Ahmad Zahid itu rasis, tidak berasas dan menyinggung perasaan bukan Melayu.

"Saya terkejut dan terluka apabila 'tidak patriotik' tersenarai sebagai faktor kenapa bukan Melayu tidak berminat menyertai tentera.

"Kenyataan itu tidak boleh diterima seolah-olah bukan Melayu ini tidak setia kepada negara," kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin (PAS-Bukit Gantang) pula berpendapat, kemungkinan bukan Melayu kurang minat menyertai tentera kerana tidak mahu terpalit dengan isu korupsi yang pernah berlaku dalam kementerian itu.

"Kenyataan itu bertentangan dengan 1Malaysia... Kemungkinan ada sebab lain, barangkali sebab korupsi yang tinggi seperti kehilangan dua enjin kapal terbang, atau Sukhoi mahupun kapal selam.

"Menyebabkan orang bukan Islam merasakan ini satu perkara yang mungkar berlaku dalam kementerian itu yang menyebabkan mereka tidak mahu ikut campur," katanya.

Menteri sewaktu menjawab soalan M Kula Segaran pagi tadi memberi empat sebab kenapa bukan Melayu kurang berminat menyertai pasukan tentera.

Ianya termasuk disiplin yang ketat, gaji yang tidak setimpal, tiada inisiatif dan tiada semangat patriotik.

Menurutnya, pada tahun 2009 seramai 8,100 telah direkrut dengan pecahan 90 peratus Melayu, 0.26 Cina dan 0.91 peratus India.

Sehubungan itu, M Kula Segaran akan mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan kadar segera bagi membolehkan perkara tersebut dibahaskan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: