11 November 2010

Harga naik, pekebun kecil peroleh RM4,000 sebulan

03 Zulhijjah 1431 H

Berikutan harga getah SMR20 yang mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara semalam, membolehkan kira-kira 350,000 keluarga pekebun kecil getah mendapat keuntungan kasar sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata harga getah SMR20 yang mencatat harga RM12.44 sekilogram semalam menunjukkan trend yang melonjak sejak beberapa bulan lalu.

"Kita dapat melihat sejak beberapa tahun, antara komoditi yang stabil adalah getah. Ia mengupayakan pendapatan penduduk luar bandar dengan stabil," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Inovasi dan Kualiti Risda, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yakin komoditi berkenaan bukan sahaja akan memberikan sumbangan kepada pendapatan negara malah masyarakat luar bandar khusunya pekebun kecil.

Sehubungan itu, Program Tanam Semula Risda diberikan peruntukan sebanyak RM217 juta tahun ini untuk kawasan seluas 131,528 hektar membabitkan 52,000 orang pekebun kecil, katanya.

Shafie berkata sehingga September lalu, seluas 96,215 hektar atau 73 peratus program berkenaan sudah dilaksanakan.

Mengenai cadangan untuk mewujudkan Risda Holdings, beliau berkata, ia akan menjadi sebagai satu apex yang berfungsi sebagai sebuah syarikat induk ke arah pencapaian yang lebih baik pengurusan 10 agensi di bawah pihak berkuasa berkenaan.

"Ia masih dalam peringkat kementerian. Agensi yang ada kena ada penyusunan semula, kemas kini dan lebih fokus jika ada badan yang memantau bagi prestasi lebih baik," katanya.

Beliau berkata Risda Holdings akan dimulakan dengan modal berbayar sebanyak RM50 juta dan akan diwujudkan akhir tahun ini.

Sehingga September lalu, 10 syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan sebanyak RM12.47 juta, katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: