05 Disember 2010

Istana Kelantan lucut dua pingat Ku Li, termasuk DK

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

“Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini.

Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

“Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini,” kata sumber itu lagi.
Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.
Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran “Datuk” kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

“Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara,” kata Mohd Aiseri ketika itu.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A’ishah Putri.

http://www.themalaysianinsider.com

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pingat tu bukan bole bawak ke mana...tengku razaligh tetap dihormati walau tiada DK dari sultan kelantan ...hidup KU LI...

Tanpa Nama berkata...

KU LI DAH LAMA SANGAT DI MP, APA JASA KU LI DI KELANTAN HINGGA HARI INI...

Tanpa Nama berkata...

Kalau tak boleh boleh bawa ke mana, tak payah bisinglah kalau sultan kelantan tarik balikpun...tak payah jadi isu dan tak perlu diperbesarkan oleh media tiga suku..!! Kita lihat selepas ini...!!

Tanpa Nama berkata...

oiii ko nak tahu apsal Darjah ko kena tarik, sebab orang x suka kat ko bodoh KU LI.. bengap

otaklunyai berkata...

Bagus!!! Tahniah dan Syabas kepada Tuanku Baginda Sultan Muhammad V... ALLAH HU AKBAR!!! 3X. Semoga Allah S.W.T akan terus memberkati dan melindungi kerajaan Tuanku dan melindungi kerajaan Tuanku dari pengkhianat2 dalam selimut.

Tanpa Nama berkata...

aku lebih menghormati sultan kelantan yang tegas dan berani dan tok guru nik abdul aziz yang sederhana dan bertaqwa.

Tanpa Nama berkata...

kalau diikut2kan pemimpin2 UMNO yang banyak pingat bergantung2 kat leher masa majlis rasmi pun tak boleh bawak ke kubur jugak.

Abu Hasan Chan berkata...

Adalah lebih baik jika kita mati nama kita disebut sebagai orang soleh dan taat kepada ugama. Apa gunanya pingat dan pangkat jika kita tidak tentu selamat di akhirat kelak.

huda al hadi berkata...

Diharap semua pingat-pingat dianugerahkan kepada mereka yang betul-betul berjasa bukan sekadar buat-buat berjasa... kemudian derhaka. Tidak juga mereka yang terlalu muda.

Kepada mereka rakyat marhen tanpa pingat masih boleh membuat jasa berikhlas manabur khidmat tanpa penat lelah tanpa pujian yang melalaikan.

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin yang bertakwa dan berimam kita hormati dan kasihi..