14 Disember 2010

JK hak, kebebasan cadang Anwar digantung

08 Muharam 1432H

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen hari ini mengemukakan cadangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung daripada Parlimen berhubung tindakan ketua pembangkang itu mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide.

Perkara itu tersenarai dalam laporan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dikemukakan ke Dewan Rakyat hari ini, menurut ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh.

Karpal ketika bercakap di lobi Parlimen hari ini berkata, cadangan penggantungan ke atas Anwar itu adalah selama enam bulan.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan yang akan dibahaskan pada hari Khamis itu juga akan mencadangkan supaya Karpal Singh diberi teguran.

Teguran itu adalah berhubung tindakan Karpal mempertikaikan keputusan jawatankuasa berkenaan untuk merujuk sepucuk surat daripada Apco Worldwide tanpa mendengar keterangan daripada Anwar atau saksi lain.

Karpal merupakan antara ahli parlimen pembangkang yang turut menganggotai jawatankuasa hak dan kebebasan yang dipertanggungjawab membincangkan isu 1Malaysia dan One Israel.

Sementara itu, ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam tulisannya di laman Twitter hari ini berkata Anwar hampir pasti akan digantung.

Desas-desus bahawa Anwar akan digantung telahpun bertiup kencang semenjak ahli parlimen Permatang Pauh itu mengaitkan slogan 1Malaysia dengan Apco Worldwide.

Ini berikutan ucapan Anwar di Parlimen dengan mengemukakan contoh-contoh untuk menunjukkan persamaan antara 1Malaysia dan slogan One Israel yang digunapakai oleh rejim Zionis itu.

Pada 8 Jun lalu Anwar dipanggil oleh jawatankuasa tersebut berhubung dakwaannya bahawa konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya dicedok daripada slogan One Israel di bawah Perdana Menteri Ehud Barak pada 1991.

Kerajaan pimpinan Najib dilaporkan membayar lebih RM70 juta sebagai upah kepada Apco untuk khidmatnya selain memperbaharui kontrak syarikat itu.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: