21 Disember 2010

Operasi bersepadu perangi rokok murah

15 Muharam 1432H
Oleh : irwandi ibrahim

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengharamkan rokok jenama murah yang kini berleluasa di pasaran tempatan serta menarik balik dan membatalkan lesen peniaga yang didapati menjual rokok berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata kementerian memandang serius terhadap penjualan rokok berkenaan yang tidak membayar cukai kerajaan dan diragui kandungannya.

“Ada lima tindakan yang boleh diambil iaitu mengharamkan jenama rokok berkenaan; bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik balik serta membatalkan lesen peniaga yang didapati menjual rokok haram.

“Mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap orang awam yang didapati membeli, memiliki atau menggunakan rokok haram; mengadakan tanda sekuriti tambahan pada paket rokok.

“Serta bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan lain-lain agensi penguatkuasa melancarkan operasi bersepadu bagi memerangi rokok haram,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan lambakan rokok haram keluaran syarikat tempatan yang dijual dengan harga RM3.50 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga minimum RM7 yang ditetapkan kerajaan.

Rokok haram yang menggunakan pelbagai jenama dan dijual secara berleluasa di pasaran tempatan dipercayai mengelak hasil cukai tembakau yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM5.20 sen bagi setiap bungkus.

Rokok berkenaan amat berbahaya kerana dipercayai mengandungi nikotin dan tembakau yang tidak memenuhi piawaian Lembaga Tembakau Negara.

“Kementerian tidak menolak kemungkinan rokok haram mengandungi bahan kimia sangat membahayakan kesihatan serta boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuk barah,” katanya.

Sementara itu, sumber kementerian berkata, tindakan boleh diambil di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2009) yang boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua.

“Kita akan mengambil sampel di pasaran untuk dihantar ke makmal bagi mengkaji kandungan tar dan nikotin dan jika didapati melebihi kandungan dibenarkan pengilang, pengedar dan penjual boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau turut meminta peniaga supaya berhati-hati sekiranya diminta menjual rokok di bawah harga minimum yang ditetapkan kerajaan.

“Rokok berkenaan mengandungi tembakau tidak berkualiti dan dicampur bahan lain iaitu bahan tercemar dan kertas. Kami ada menerima aduan mengenai perkara ini sejak sebulan lalu dan kes ini (penjualan rokok haram) semakin menjadi-jadi sejak cukai rokok naik,” katanya.(BH)

1 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Paling lawak bila kotak rokok ada gambar yang kononnya nak menakutkan perokok. Bila dah ketagih apa gambar pun dia orang tak heran..

Budak2 bolehlah nak ditakut2kan...nak basmi rokok kena basmi pembuatannya, pengeluaran dan pengedaran.

Kalau tak, tok sah dok gebang. Orang kampung hisap rokok daun ja pun.

Macam tu lah gambaran pemerintah yang dok ada.

Rakyat dah penat tengok wayang bisu.