21 Disember 2010

Tidak berbangkit roboh Surau Al-Hidayah

15 Muharam 1432H

RAWANG, 21 Dis: Pihak Masjid Nurul Iman di sini mendapati isu perobohan Surau Al-Hidayah di pekan ini yang bernaung di bawah pentadbiran masjid tiada langsung dibangkitkan di dalam notis.

Nazirnya, Ilham Akhbar Harun berkata pihaknya telah meneliti notis bagi mengosongkan tapak perniagaan/aktiviti di Pusat Bandar Rawang Selangor Darul Ehsan oleh Tetuan Mahumas Sdn Bhd yang bertarikh 19 Oktober 2010 rujukan MSB/BLOCK N/NOTIS/010-10/016/yz dan juga keseluruhan siaran media elektronik dan akhbar tempatan yang di sebarkan sebelum ini.

Justeru, katanya pihak masjid berpendapat sebarang usaha untuk mempertahankan maruah dan juga kepentingan umat Islam di Rawang seperti isu perobohan surau itu haruslah dirujuk kepada pentadbir masjid yang telah diberi mandat dan amanah oleh Sultan Selangor.

“Sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Kami, pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang (MNIR) telah meneliti notis bagi mengosongkan tapak perniagaan/aktiviti di Pusat Bandar Rawang Selangor Darul Ehsan oleh Tetuan Mahumas Sdn Bhd yang bertarikh 19 Oktober 2010 rujukan MSB/BLOCK N/NOTIS/010-10/016/yz dan juga keseluruhan siaran media elektronik dan akhbar tempatan yang di sebarkan sebelum ini.

Adalah didapati isu perobohan Surau Al-Hidayah Pekan Rawang yang bernaung di bawah pentadbiran MNIR tiada langsung dibangkitkan di dalam notis tersebut. Pihak Mahumas tidak secara terperinci/spesifik berkenaan isu perobohan surau.

Pengosongan tapak perniagaan/aktiviti di kawasan ini dilakukan kerana pihak Mahumas mendakwa keseluruhan 8 lot tanah yang telah dibangkitkan oleh setenggah pihak adalah miliknya. Pendirian MNIR dalam isu ini, bahawa surau tersebut haruslah dikekalkan seperti sedia ada. Sehubungan dengan itu isu perobohan surau tiada kaitan ataupun terbatal.

Pihak kami telah membuat carian dokumen di Pejabat Tanah & Daerah Gombak dan adalah didapati tanah tersebut yang berkeluasan (1 rood, 11 poles) telah direzabkan pada 12 Mac 1920 sebagai tanah rezab tapak masjid yang bernombor 13075 dan nombor geran 1100-20 yang bersamaan dengan 13,885 kp. Kami beranggapan tanah rezab tersebut haruslah dikekalkan kepada pihak Masjid (JAIS/MAIS) kerana:

- Pengekalan rezab berkenaan sebagai simbol dan warisan kecemerlangan indentiti umat Islam di Bandar Rawang sejak 100 tahun yang lalu.

- Tapak ini juga merupakan kawasan yang strategik untuk perkembangan Islam setempat.

- Pengekalan rezab ini juga dapat memilihara kesejahteraan 7 tapak kubur penduduk awal Rawang di kawasan tapak masjid ini.

- Dengan kepesatan pembangunan di Rawang dan sekitarnya adalah dijangkakan kepadatan penduduk Islam di Rawang akan bertambah.

Atas fakta-fakta tersebut SAP Holdings Berhad haruslah membatalkan hasrat untuk membangunkan pembangunan di atas tapak rezab masjid tersebut.

Kanun Tanah Negara Borang 5CK, Geran Pajakan dan Hakmilik telah dikeluarkan pada 29 Jun 2009 oleh Pendaftaran Hakmilik Negeri Selangor kepada SAP Holdings Berhad. Adalah didapati tarikh mula-mula pemberimilikan sebenar oleh Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor kepada SAP Holdings telah dikeluarkan seawal 2 April 2001 sebagai kelulusan hakmilik. Ini bermakna tarikh 29 Jun 2009 hanyalah sebagai pecahan lot-lot tanah. Dalam hal ini jelas menunjukan proses pemilikan berlaku sejak awal tahun 2001.

Pada 20 Disember 2010, Pentadbir Masjid bersama Penghulu Mukim Rawang 1, Wakil Pejabat Adun Rawang dan Ahli Majlis MPS Zon 19 telah mengadakan perjumpaan dengan wakil SAP Holdings Bhd (Mahumas Sdn Bhd) bagi tujuan menyelesaikan isu berbangkit. Hasil dari perjumpaan tersebut dirumuskan bahawa:

- Tidak akan berlaku perobohan surau seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.

- Tanah rezab masjid yang berukuran (1r, 11p) haruslah dikekalkan sebagai rezab masjid.

- Pihak Mahumas akan melakukan ukuran tepat keluasan tapak tanah tersebut melalui jurukur berdaftar.

- Pihak Mahumas bersetuju mengembalikan keseluruhan lot-lot tanah tersebut setelah ukuran sebenar diperolehi.

Kami berpendapat sebarang usaha untuk mempertahankan maruah dan juga kepentingan umat Islam di Rawang seperti isu perobohan surau ini haruslah dirujuk kepada pentadbir masjid yang telah diberi mandat dan amanah oleh DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan. Sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

puspawangi berkata...

kalau dah bekas ADUN Batang KALI dan PEKASA yg terlibat tu..kita tahu la siapa dalangnya...siapa lah agaknya MB Selangor pd tahun 2001 ye??? tak ada ke pihak yg nak siasat hal tu..susah ke?