09 Disember 2010

Saksi: Kereta Aminulrasyid himpit kereta polis

03 Muharam 1432H

Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak di kepala, bukan sahaja ingkar arahan polis supaya memberhentikan kereta yang dipandu, malah bertindak menghimpit kereta peronda polis sehingga hampir terbabas di tepi jalan.

Konstabel Mohd Izham Mahayadin yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Seksyen 11 di sini, berkata beliau telah memberi arahan kepada pemandu Proton Iswara putih bernombor pendaftaran BET 5023 supaya memberhentikan kenderaan di tepi jalan tetapi pemandu kereta itu enggan berbuat demikian malah meningkatkan kelajuan pemanduannya.

"Kereta Iswara itu memintas kami dalam keadaan laju di Persiaran Dato' Menteri berhampiran dengan Kompleks PKNS dan pemandu kereta peronda Koperal Azhar Hashim terus kejar kereta Iswara setelah memberitahu kereta itu telah langgar lampu isyarat merah.

"Azhar telah pasang siren dan lampu beacon manakala saya telah keluarkan arahan melalui mikrofon di kereta peronda kira-kira tiga kali supaya pemandu kereta Iswara itu perlahankan kereta dan berhenti di tepi jalan tetapi tidak ada tanda untuk berhenti malah nampak semakin laju," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Mohd Izham memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-28 pendakwaan itu berkata setelah kereta Iswara itu enggan berhenti, beliau dan Azhar terus mengejar kenderaan tersebut sehingga berlaku himpit-menghimpit antara mereka di Persiaran Masjid.

"Ketika kereta kami cuba memintas ke arah kanan kereta Iswara, kereta itu menghimpit kami supaya kami tidak dapat memotongnya dan perkara itu berlaku kira-kira tiga kali. Ada ketika kereta peronda kami hampir terbabas naik ke pembahagi jalan," katanya sambil menambah beliau turut meminta bantuan daripada kereta peronda polis lain yang berada berhampiran.

Seterusnya, Mohd Izham berkata tiba di simpang empat lampu isyarat berhadapan dengan Hotel Concorde di Seksyen 9, kereta Iswara tersebut sekali lagi melanggar lampu isyarat merah dan membelok masuk ke Persiaran Kayangan di mana sebuah lagi kereta peronda polis dilihat turut mengejar kereta Iswara tersebut.

Saksi itu berkata ketika di Persiaran Kayangan, kedua-dua kereta peronda tersebut beberapa kali cuba memintas kereta Iswara itu namun gagal sehinggalah mereka tiba di Bulatan Kayangan di mana kereta Iswara tersebut sekali lagi gagal berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

"Di Bulatan Kayangan, kedua-dua kereta peronda dalam keadaan bersaing di kiri dan kanan di belakang kereta Iswara itu. Apabila kami cuba menghimpit, kereta Iswara itu menghimpit kembali menyebabkan kereta peronda hampir terbabas.

"Ketika kereta peronda saya berada di belah kanan kereta Iswara itu, saya telah keluarkan separuh badan saya dan lepaskan tembakan ke arah tayar kanan belakang kereta itu. Saya tidak pasti berapa das tembakan saya lepaskan tetapi selepas saya pulangkan semula senjata kepada stor persenjataan barulah saya dimaklumkan 10 butir peluru telah digunakan semasa tembakan itu," katanya.

Sementara itu, Muhamad Azamuddin Omar, 15, rakan Aminulrasyid yang turut berada di dalam kereta dipandu mangsa semasa kejadian, ketika menyambung keterangannya berkata beliau pada bila-bila masa tidak pernah melihat parang di dalam kereta Iswara itu.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani menunjukkan sebilah parang yang merupakan barang kes dalam perbicaraan itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata beliau tidak pernah melihatnya.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, lapor Bernama.

Muhamad Azamuddin seterusnya berkata beliau telah membuat laporan polis di IPD Shah Alam pada malam kejadian bagi membersihkan nama beliau dan mangsa yang dituduh sebagai penyamun.

Saksi itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam Salim Bashir, yang mewakili Jenain, bahawa polis mungkin mempunyai andaian bahawa beliau dan Aminulrasyid adalah penyamun berdasarkan kepada tindakan mangsa lari daripada polis dan penemuan parang dalam kereta Iswara itu.

Ditanya mengapa Aminulrasyid enggan memberhentikan kenderaan walaupun disuruh berbuat demikian oleh polis, Muhamad Azamuddin berkata: "Saya rasa Aminulrasyid takut... dia tak nak menyusahkan maknya dan dia tak nak buat hal sebab ini kali pertama buat hal paling teruk."

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung esok.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

perjalanan pulang berkata...

aduh........bermacam macam cerita untuk kehidupan sendiri

Tanpa Nama berkata...

mampuih! langgaq lampu merah ja dh layak kena tembak..tp kalo anak polis langgaq org, smp mati pon xdak apa2...