09 Disember 2010

Speaker gantung wakil Pakatan Rakyat lagi

03 Muharam 1432H

Dua Ahli Parlimen DAP, Jeff Ooi Chuan Aun dan Fong Po Kuan, digantung daripada menyertai persidangan Dewan Rakyat sehingga 2.30 petang kerana gagal mengawal emosi masing-masing semasa sesi soal-jawab.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, membuat keputusan itu selepas kedua-dua Ahli Parlimen terbabit mempersoalkan tindakannya yang tidak membenarkan Ooi (DAP-Jelutong) (kiri) meneruskan soalan tambahan berhubung kontrak yang diberikan kepada Bumiputera dalam projek menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang.

Pandikar Amin yang sejak awal pagi menegur ahli Dewan agar mengemukakan soalan tambahan yang jelas dan padat berkata, soalan Ooi tidak mempunyai kaitan dengan soalan asal mengenai projek tersebut.

"Duduk. Yang Berhormat tak dengar apa saya kata. (Tindakan) salah. (Soalan tambahan) tak kena mengena dengan soalan asal. Duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menggunakan kuasa saya untuk merehatkan (wakil) Jelutong. Balik semula pada 2.30 petang," katanya.

Ooi sebelum itu meminta Timbalan Menteri Pengangkutan menjelaskan mengapa projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tergendala sehingga ke tahun 2011.

Fong (DAP-Batu Gajah) kemudiannya bangun mempertikaikan keputusan Pandikar Amin itu malah meminta Speaker juga keluar berehat seketika menyebabkan turut mengarahkan beliau keluar Dewan sehingga 2.30 petang.

"Tingkah laku speaker mengsia-siakan demokrasi berparlimen di Malaysia. Beliau tidak dapat mengawal emosi. Ini lebih teruk daripada 'Kangaroo court'," kata Ooi pada sidang media di lobi parlimen, kemudian.

Semalam, Pandikar turut menggantung enam ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mempersoalkan tindakan beliau menghalang Anwar daripada membela diri di Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung hubungan Umno dan firma perunding berkaitan Israel, Apco Worldwide.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: