19 Disember 2010

Tinggalkan tafsiran sempit perkauman Umno

13 Muharram 1432H.
Mohamad Zainal Abidin Hussin

KEPALA BATAS, 19 Dis: PAS mengajak rakyat Malaysia meninggalkan tafsiran sempit perkauman Umno/Barisan Nasional dan menobatkan prinsip keadilan sejagat demi menyelamatkan masa depan negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis pembukaan konvensyen kedua Pakatan Rakyat pagi ini mahu rakyat menolak corak pemerintahan yang telah terbukti mencipta rekod buruk melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan di negara ini.

Islam, kata beliau mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Beliau turut menyelar permainan busuk media yang memutar belit pendirian PAS dan Pakatan Rakyat berhungan Islam dan Bahasa Melayu.

"Sengaja ditimbulkan tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah (dalam isu Melayu dan Islam).

"Hakikatnya kita (Pakatan) telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum," jelas beliau.

Berucap di hadapan lebih lebih dua ribu perwakilan dan pemerhati di dewan Milineum itu beliau mengingatkan para pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat supaya sentiasa waspada dengan permainan pihak lawan yang sentiasa cuba menimbulkan keadaan tidak selesa dan perpecahan.

"Semua pihak perlu lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini agar jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang," kata beliau.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: